mutakhir

Kan dah mendapat!

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Tindakan tidak berfaedah sekumpulan remaja menghabiskan masa berkumpul, berlumba dan melakukan pelbagai aksi berbahaya di sekitar Tanjong Karang dan Sungai Yu, membawa padah apabila mereka ditahan polis dalam Op Samseng Jalanan, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, operasi mulai 9.30 malam hingga 4 pagi dengan kekuatan seorang pegawai dan lima anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor.

Beliau berkata, sepanjang operasi, pihaknya memeriksa 18 individu dan 15 motosikal, selain mengeluarkan 23 saman atas pelbagai kesalahan.

"Lima kesalahan adalah tiada lesen memandu, diikuti kesalahan lain-lain seperti tidak memakai topi keledar (4), tiada cermin sisi (4), mengubah suai motosikal (4), nombor pendaftaran (4) dan insurans tamat tempoh (2).

"Kebanyakan mereka yang ditahan dalam operasi terbabit berusia antara 18 hingga 25 tahun," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semua kenderaan yang ditahan dibawa ke IPD Kuala Selangor untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: August 9, 2021 @ 9:55am
d