mutakhir

Majlis doa isi sambutan Maal Hijrah di Sarawak

Oleh Mohd Roji Kawi

Kuching: Tiada acara besar-besaran diadakan sempena sambutan Maah Hijrah 2021/1443 di negeri ini hari ini berikutan situasi pandemik Covid-19 yang masih membimbangkan.

Sambutan hanya diadakan malam tadi di Masjid Jamek Negeri di Petra Jaya, di sini, dengan majlis Doa Akhir Tahun 1442H dan Awal Tahun 1443 sebagai pengisian.

Majlis berkenaan dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg.

Seramai 200 tetamu jemputan menghadiri majlis itu yang dimulakan dengan bacaan doa akhir tahun diikuti solat fardhu maghrib, doa awal tahun, ceramah khas Maal Hijrah dan solat Isyak berjemaah.

Turut hadir, Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi serta Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha.

Abang Johari dalam amanat kuas sempena sambutan Maal Hijrah 2021/1443 memberi jaminan kerajaan Sarawak pimpinannya akan terus menumpukan usaha kepada pembangunan sosioekonomi yang mampan dalam usaha mencapai status negeri maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.

Antara pendekatan yang dilakukan kerajaan katanya adalah dengan membangunkan ekonomi berteraskan kepada sumber yang ada dalam negeri ini.

"Sumber itu akan kita tambah nilai dengan melahirkan anak Sarawak yang mempunyai kemahiran dan kepakaran ilmu terkini agar hasilnya dapat kita eksport ke pasaran terbuka.

"Semua pendekatan itu berasaskan kepada pengajaran Islam iaitu melalui ilmu dan seterusnya digunakan untuk berbakti kepada masyarakat," katanya.

Katanya lagi, pendekatan sama turut digunakan kerajaan negeri dalam pelaksanaan Strategi Pembangunan 2030 Pasca Covid-19 untuk membangunkan masyarakat Islam dan bukan Islam di negeri ini.

Disiarkan pada: August 10, 2021 @ 11:56am
d