mutakhir

Risau kecederaan Jahidah beri kesan jangka panjang

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: "Kami sekeluarga bimbang dengan kecederaan dialami kakak dan khuatir ia boleh beri kesan jangka panjang kerana sehingga kini, dia masih separuh sedar.

"Walaupun sudah tiga bulan dia terlantar, tidak banyak perubahan berlaku," ujar Fauziah Nordin, adik kepada Jahidah Nordin, 43, yang bertarung nyawa selepas parah disyaki dipukul suaminya pada 4 Mei lalu.

Fauziah, 40, berkata kakak sulung daripada tujuh beradik itu sudah boleh membuka mata, namun tiada pergerakan daripada anggota fizikal lain.

Menurutnya, situasi itu membuatkan dia dan ahli keluarga berasal dari Sabah itu terus berdoa agar Jahidah dapat pulih sepenuhnya kerana dia kini sedang mengandungkan anak sulung berusia lima bulan.

"Walaupun sudah boleh buka mata, tapi fizikal lain masih kaku. Kami tidak dapat berkomunikasi dengannya.

"Malah, sistem pernafasannya dibantu melalui bantuan alat khas dipasang di bahagian lehernya manakala makanan iaitu susu khas dilakukan melalui tiub," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Suri rumah itu berkata, walaupun ada cadangan untuk menggerakkan kaki dan tangannya secara perlahan sebagai suatu daripada kaedah fisioterapi, ia belum boleh dilakukan.

Menurutnya, kecederaan dialami kakaknya terutama di bahagian kepala dan otak dipercayai serius menyebabkan proses pemulihan sukar dan mengambil masa lama.

Beliau berkata, pihaknya berasa sedikit lega kerana anak dikandung kakaknya itu dalam keadaan sihat berdasarkan maklumat daripada jururawat yang memeriksanya.

"Saya perlu memberikan tumpuan mengurus dan memantaunya 100 peratus selama 24 jam sehari bagi memastikan dia mendapat penjagaan terbaik.

"Namun ahli keluarga tetap bimbang kerana saya dapat rasakan kecederaan dialaminya itu teruk dan boleh beri impak kepada masa depan...minta dijauhkan," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban mangsa boleh menyalurkan bantuan ke akaun bank CIMB Fauziah Nordin bernombor 7617797037.

Dalam kejadian 4 Mei lalu, mangsa yang juga kakitangan kerajaan dan menetap di Johor Bahru parah pada kepala dan tengkoraknya terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak disyaki dipukul suaminya yang berusia 38 tahun.

Lelaki dikenali sebagai Rosmaini Abd Raof, yang juga suspek sudah didakwa di Mahkamah Johor Bahru mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan serta Seksyen 326A kanun sama.

Disiarkan pada: August 10, 2021 @ 1:21pm
d