mutakhir

Maut ditetak selepas bergaduh dengan jiran

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Manjung: Pergaduhan antara dua jiran berakhir tragedi apabila seorang daripadanya maut dipercayai ditetak di perkarangan sebuah rumah di Jalan Sitiawan-Beruas, Beruas, di sini, semalam.

Dalam kejadian 5 petang itu, mangsa berusia 40-an ditetak dengan parang di kepala dan kaki oleh jirannya iaitu lelaki berusia 40-an.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, kejadian dipercayai bermula dengan pergaduhan antara dua lelaki berkenaan yang berjiran.

Katanya, sebelum itu, suspek didakwa menampar anak mangsa menyebabkan lelaki berkenaan datang berbincang dengan suspek.

"Berlaku pertelingkahan antara mereka. Suspek kemudian menetak mangsa dengan parang di kepala dan kaki.

"Bagaimanapun, motif sebenar kejadian itu masih dalam siasatan lanjut. Parang yang digunakan dalam kejadian itu juga sudah ditemui," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, suspek ditahan di rumahnya pada hari sama untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Suspek direman selama tujuh hari sehingga Isnin depan," katanya.

Disiarkan pada: August 10, 2021 @ 8:06pm
d