mutakhir

Usahawan kosmetik dipanggil beri keterangan

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Usahawan kosmetik yang tular gambarnya menikmati durian bersama beberapa individu lain pada 30 Julai lalu sudah dipanggil untuk memberi keterangan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, siasatan kini sedang dijalankan berhubung dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1.

"Kertas siasatan berhubung kes itu sedang dilengkapkan sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan susulan.

"Semua individu sudah di panggil termasuk usahawan itu untuk proses rekod percakapan. Proses ini penting untuk polis melengkapkan kertas siasatan dan membolehkan tindakan seterusnya dilaksanakan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Terdahulu, polis dilaporkan menyiasat usahawan berkenaan selepas tular gambar tangkap layar lelaki itu menikmati durian bersama beberapa individu lain dan disiarkan secara langsung di media sosial.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood, dipetik berkata tangkap layar siaran secara langsung itu dikesan ditularkan seorang pengguna media sosial, kira-kira jam 1.10 tengah hari pada 30 Julai lalu.

Tangkap layar itu dikongsi lebih 4,000 kali di media sosial bersama komen netizen yang turut menanda (tag) media sosial Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggesa tindakan diambil terhadap pengusaha kosmetik terbabit.

Disiarkan pada: August 10, 2021 @ 9:24pm
d