mutakhir

TNB Tawar dermasiswa MYBF kepada 2,500 penuntut B40

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) meneruskan tajaan dermasiswa, biasiswa dan pinjaman pendidikan boleh ubah menerusi Yayasan Tenaga Nasional (YTN), meskipun berdepan cabaran pandemik Covid-19.

Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, seramai 2,500 penuntut dalam kalangan B40 akan menerima tajaan dermasiswa My Brighter Future (MyBF) pada tahun ini.

Menurutnya, TNB komited membantu penuntut melanjutkan pendidikan bagi menyokong usaha meningkatkan modal insan, terutama pelajar dari keluarga B40 untuk keluar dari kepompong kemiskinan.

"Kami terpanggil meneruskan tajaan terutama MyBF kepada penuntut daripada keluarga susah melanjutkan pengajian mereka di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), lebih-lebih lagi dalam suasana pandemik Covid-19 yang masih berlanjutan.

"Dermasiswa MyBF diberikan kepada penuntut tanpa permohonan dan proses temu duga, malah tiada bayaran balik.

"Calon yang layak dipilih daripada pengkalan data Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA iaitu UPU Online dengan padanan dibuat dengan keluarga yang tersenarai dalam sistem Bank Data Kemiskinan Nasional, eKasih," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dermasiswa MyBF adalah kerjasama TNB dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menyelaras serta mengenal pasti calon layak daripada keluarga berpendapatan rendah melanjutkan pengajian di tujuh universiti awam, politeknik dan kolej komuniti terpilih.

Antaranya Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Tun Hussein Onn (UTHM).

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, tajaan tahunan setiap seorang di peringkat ijazah pertama adalah berjumlah RM10,000, diploma RM9,000 dan sijil RM6,600.

Katanya, lebih 5,000 penuntut sudah menerima manfaat MyBF membabitkan peruntukan RM66 juta sejak 2018 sehingga tahun lalu.

Tambah beliau, YTN membelanjakan lebih RM1.2 bilion membabitkan peruntukan MyBF (RM66 juta), biasiswa (RM597 juta) dan pinjaman pendidikan boleh ubah (RM547 juta) kepada lebih 18,500 penuntut sejak ditubuhkan pada 1993.

"Biasiswa dan pinjaman pendidikan boleh ubah dikhususkan untuk penuntut cemerlang dalam bidang kejuruteraan, perakaunan dan pengajian bisnes.

"YTN ketika ini juga sedang mengenalpasti calon penuntut yang berkelayakan bagi kedua-dua bentuk tajaan ini," katanya.

Selain YTN, beliau berkata, TNB turut membantu pelajar menerusi Yayasan Canselor UNITEN (YCU) khusus kepada penuntut di Universiti Tenaga Nasional.

Kata beliau, tahun ini sebanyak RM772,000 disumbangkan bagi pembiayaan pelbagai program termasuk pembelajaran secara maya, penyelidikan pasca Covid-19 dan sekolah angkat.

Disiarkan pada: August 11, 2021 @ 11:42am
d