mutakhir

Baru kenal seminggu dah dicekup khalwat

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Kulim: Baru kenal seminggu melalui laman sosial tetapi sudah berani membawa pulang pasangan ke rumah sewa sebelum dicekup berkhalwat.

Itu yang berlaku apabila seorang berusia 22 tahun sanggup membawa remaja perempuan berusia 17 tahun ke rumahnya di Kampung Pondok Labu, di sini sebelum mereka dicekup berkhalwat oleh sepasukan anggota dari Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK), hari ini.

Mereka dicekup jam 1.05 pagi tadi dalam serbuan yang diketuai Anwar Shariffudin Mat Saad selepas menerima maklumat berhubung kegiatan maksiat di rumah berkenaan.

Ketika serbuan dilakukan, remaja perempuan itu ditemui bersembunyi dalam bilik air tanpa baju.

Lelaki itu bekerja di sebuah kilang ayam di sini dan mengambil wanita itu di Juru, Pulau Pinang sebelum membawa remaja perempuan itu pulang ke rumahnya dan sanggup merentas negeri menggunakan laluan tikus.

Pegawai Agama Daerah Kulim, Syeikh Haizan Hamzah berkata, mereka dipercayai berkenalan menerusi WhatsApp sejak seminggu lalu sebelum dicekup berkhalwat pagi tadi.

Beliau berkata, lelaki itu berasal dari Padang Serai, di sini, manakala pasangannya pula menetap di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

"Hasil pemeriksaan mendapati, mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen mempunyai sebarang hubungan mahram atau suami isteri.

"Ketika serbuan dilakukan, hanya mereka berdua dalam rumah berkenaan dan disyaki melakukan maksiat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Berikutan Haizan berkata, laporan polis berhubung tangkapan mereka dibuat di balai polis berhampiran dan mereka diambil keterangan untuk membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 25 (a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Disiarkan pada: August 12, 2021 @ 8:45am
d