mutakhir

'Langsung tiada duit nak bayar pendahuluan sewa rumah'

Oleh Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Seorang ibu terpaksa membawa dua anak kecilnya bermalam di sebuah pondok di tepi pantai di sini, selepas terpaksa keluar dari rumah kerana gagal membayar sewa.

Harvinderjit Kaur Bachan Singh, 31, berkata, sebelum ini dia dan dua anak tinggal di sebuah pangsapuri, tetapi dia tidak mampu membayar sewa kerana kehilangan kerja, selain suaminya berada di penjara.

"Saya hilang punca pendapatan selepas tidak lagi bekerja sebagai buruh kasar akibat pandemik Covid-19 sejak beberapa bulan lalu menyebabkan saya gagal membayar sewa bulanan rumah sekitar RM400 sebulan.

"Mahu atau tidak, saya terpaksa membawa dua anak tidur berhampiran Balai Nelayan, Teluk Pelandok buat sementara waktu sebelum mencari rumah yang lain," katanya.

Dia ditemui selepas menerima sumbangan makanan daripada Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9).

Harvinderjit Kaur berkata, dia sudah dapat maklumat mengenai beberapa rumah sewa tetapi tidak dapat menyediakan wang pendahuluan sewa rumah.

"Sudah tiga malam kami tiga beranak tidur di pondok ini yang dimiliki rakan, buat sementara waktu inilah rumah kami.

"Saya tak pasti macam mana nak dapatkan duit pendahuluan sewa rumah kerana tidak bekerja, kalau ada pun hanya untuk makan kami tiga beranak," katanya.

Sementara itu, bekas jirannya yang hanya mahu dikenali sebagai Udin, 40an berkata, dia bersimpati dengan nasib wanita ini yang tiada tempat berteduh.

"Saya membenarkan dia tidur di pondok ini sementara dia dapat rumah sewa.

"Saya bantu dia cari rumah sewa, namun masalahnya sekarang dia langsung tiada wang untuk membayar duit pendahuluan," katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh berbuat demikian melalui Tabung Media Prima NSTP Humanitarian Fund (Metro Prihatin) menerusi akaun Affin Islamic Bank bernombor 105280004378 atau Maybank di nombor 514271655386.

Disiarkan pada: August 14, 2021 @ 3:52pm
d