mutakhir

Tidak akan bersekongkol dengan kumpulan kleptokrat [METROTV]

Oleh Saipul Adli Mohamad; Suraya Roslan dan Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan tidak akan sekali-kali bersekongkol dengan kumpulan kleptokrat, mengganggu kebebasan badan kehakiman dan membelakangi Perlembagaan Persekutuan semata-mata untuk kekal berkuasa.

Beliau berkata, apa yang berlaku ini adalah ketentuan Allah SWT yang juga satu episod dalam sejarah perjuangan politik beliau.

"Enam tahun lalu, saya dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri semata-mata kerana saya mempertahankan prinsip untuk tidak berkompromi dalam kes penyelewengan 1MDB.

"Saya berjuang, saya berkorban, akhirnya Allah SWT mengangkat martabat perjuangan saya sehingga diberikan amanah untuk memimpin negara ini sebagai Perdana Menteri. Namun, ditakdirkan bahawa hari ini adalah hari terakhir saya sebagai Perdana Menteri dan saya reda dengan ketentuan Ilahi," katanya dalam Perutusan Khas, hari ini.

Beliau berkata, jawatan yang dipikul itu bukanlah suatu kemegahan, sebaliknya ia datang dengan suatu bebanan tanggungjawab yang berat.

"Saya memimpin negara dalam keadaan krisis kesihatan dan ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Pada masa sama, saya terus digugat dari segi politik.

"Saya boleh mengambil jalan mudah dengan mengorbankan prinsip saya untuk kekal sebagai Perdana Menteri. Tetapi itu bukan pilihan saya," katanya.

Disiarkan pada: August 16, 2021 @ 3:45pm
d