mutakhir

Bekas pengarah pengurusan Bukit Aman meninggal dunia

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Bekas Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Seri Abdul Ghafar Rajab meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), di sini, hari ini.

Abdul Ghafar, 63 , yang dimasukkan ke hospital itu sejak Khamis lalu meninggal dunia di hospital berkenaan jam 5.30 pagi tadi ketika dalam tidur.

Anaknya, Inspektor Mohd Qassim Abdul Ghafar ketika dihubungi, hari ini, memaklumkan ayahnya kerap dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Allahyarham yang berasal dari Pontian, Johor meninggalkan seorang isteri serta tujuh anak.

Abdul Ghafar pernah menjawat beberapa jawatan penting dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Bukit Aman sebelum jawatan terakhir sebagai Pengarah Pengurusan Bukit Aman.

Beliau sudah berkhidmat selama 39 tahun dalam pasukan itu sebelum bersara wajib pada Julai 2018.

Jenazah akan disembahyang di Masjid Bukit Aman dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Persint 20, Putrajaya.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani turut menzahirkan ucapan takziah buat ahli keluarga allahyarham dan keluarga dalam ucapan yang dimuat naik di akaun Facebook rasmi PDRM.

Disiarkan pada: August 17, 2021 @ 1:29pm
d