mutakhir

Pemilik gelang 'pink' tercicir sudah dikesan polis

Oleh Siti Rohana Idris

Tumpat: Penemuan tiga utas gelang merah jambu yang dipotong dan ditinggalkan di tepi jalan berhampiran sebuah masjid di Kampung Bunohan, di sini, menimbulkan kebimbangan kepada penduduk.

Penemuan tiga utas gelang merah jambu itu mulai tular di media sosial hari ini dengan harapan individu yang disangkakan melarikan diri dari kuarantin itu tampil menyerah diri selain menyeru pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, Deputi Superintendan Mohd Razi Rosli berkata, pihaknya segera menjalankan siasatan lanjut dan semakan ke atas akaun Facebook, pemilik tiga gelang merah jambu itu berjaya dikenal pasti.

Beliau berkata, gelang merah jambu itu dimiliki seorang lelaki dewasa bersama dua anaknya yang tinggal di Pengkalan Kubor yang mana pada 15 Ogos lalu, mereka sekeluarga menjalani ujian calitan Covid-19 di Klinik Kesihatan Bunohan.

"Keesokan harinya, kira-kira 10 pagi, mereka dihubungi pihak klinik dan diminta hadir semula kerana keputusan ujian adalah positif.

"Gelang merah jambu terdahulu yang dipakai oleh mereka dipotong dan digantikan dengan gelang baharu untuk tarikh mulai 15 hingga 25 Ogos bagi menjalankan kuarantin di rumah.

"Lelaki itu mengakui ada mengambil semula gelang yang dipotong tanpa pengetahuan petugas kesihatan dengan anggapan bahawa dia perlu menyimpannya. Bagaimanapun gelang yang disimpan di dalam poket seluarnya tercicir tanpa disedari," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Razi berkata, pihak Klinik Kesihatan Bunohan mengesahkan perkara itu melalui semakan dokumen yang dibuat.

Menurutnya, tiga beranak itu adalah kontak rapat kepada isteri lelaki terbabit yang didapati positif dan kini sedang menjalankan di sebuah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).

"Semoga dengan penjelasan ini, semua pihak dapat menghentikan apa juga komen yang berunsur negatif di media sosial.

"Saya juga menafikan maklumat tular bahawa dua sekatan jalan raya yang dijalankan di Kampung Paya Ular dan Kampung Neting di sini adalah susulan daripada isu gelang merah jambu berkenaan sebaliknya pelaksanaannya adalah kerana Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di kawasan terbabit," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 17, 2021 @ 7:05pm
    d