mutakhir

'Hantu cina' dapatkan suntikan vaksin Covid-19 [METROTV]

Oleh Ahmad Ismail

Segamat: Gelagat seorang lelaki yang mengenakan kostum 'hantu cina' ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Serbaguna di Jalan Genuang, di sini, semalam menarik perhatian ramai hingga ada yang mendekatinya untuk bergambar.

Penghantar makanan, Sin Chong Yie, 35, berkata dia bertindak sedemikian kerana mahu menghiburkan petugas barisan hadapan yang bertaruh nyawa setiap hari untuk memastikan imuniti kelompok dapat dicapai.

Menurutnya, dia yang mendapat panggilan janji temu vaksin seminggu lalu mengambil keputusan untuk memakai kostum berkenaan selepas mendapatkan kebenaran pihak PPV itu terlebih dahulu.

"Kostum ini dibeli secara dalam talian. Baju, seluar, penutup kepala selain wang kertas tiruan itu dibeli dengan harga RM30.

"Saya berani pakai kostum itu pada siang hari namun tidak pada sebelah malam kerana terasa seram pula," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Perumahan di Bukit Siput, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, idea untuk mengenakan kostum itu dilakukannya selepas dia teringat cerita lawak seram pernah ditontonnya di kaca televisyen.

"Ia hanya untuk hiburkan hati petugas barisan hadapan dan juga penerima vaksin lain," katanya.

Ditanya mengenai suntikan vaksin dilaluinya, katanya, proses itu berjalan lancar sekitar jam 3 petang semalam.

"Saya akan lakukan gimik lain untuk vaksinasi lengkap (dos kedua) pada 9 September nanti namun enggan mendedahkannya...tunggulah kejutannya nanti," katanya.

Disiarkan pada: August 17, 2021 @ 7:15pm
d