mutakhir

Jual ayam percik guna kereta sorong bayi [METROTV]

Oleh Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: "Saya sebenarnya sudah tidak larat, jadi kereta sorong ini dapat memudahkan tugas mengangkut semua ayam percik untuk dijual di seluruh pekan," kata Fisah Yahya.

Fisah, 65, adalah warga emas dilihat berniaga ayam percik di sekitar pekan ini pada setiap pagi dengan menolak kereta sorong bayi terpakai dibeli dengan harga RM50 di Golok, Thailand, sejak lima tahun lalu.

Dia yang juga ibu tunggal kepada enam cahaya mata, mengakui tidak mampu membeli kereta tolak biasa selain agak berat untuknya yang sudah berusia dan mengambil keputusan menggunakan kereta sorong bayi kerana ia lebih ringan.

"Sudah hampir 40 tahun saya berniaga ayam percik, dulu ketika masih sihat dan kuat, saya hanya menjunjung bakul berisi barangan jualan di atas kepala dan menjaja sekitar pekan demi sesuap nasi.

"Memandangkan usia sudah lanjut selain badan tidak sekuat dulu, saya mengambil keputusan menggunakan kereta sorong ini. Bolehlah saya menjaja sambil menjadikannya 'tongkat' untuk dipegang dan berjalan.

"Saya bangun seawal 4 pagi setiap hari untuk menyiapkan empat atau lima ekor ayam percik sebelum menjaja sekitar 7 pagi sehingga 12 tengah hari bergantung kepada jualan," katanya ketika ditemui di pekan Rantau Panjang, hari ini.

Fisah yang juga penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan mengakui masih perlu bekerja demi meneruskan hidup memandangkan anaknya sudah berumah tangga dan hidup serba kekurangan.

Menurutnya, selagi kudrat masih ada, dia cuba mencari wang sendiri kerana tidak mahu menyusahkan anak, tambahan pula, sudah biasa hidup berniaga seperti ini.

"Jika tidak keluar berniaga, rasa bosan pula di rumah. Ada pelanggan menegur kerana menggunakan kereta sorong bayi untuk menjaja, malah ia menjadi tarikan untuk orang ramai mendekati saya dan seterusnya membeli ayam percik.

"Tidak kurang beranggapan penggunaan kereta sorong ini sesuatu yang kreatif. Saya tidak kisah asalkan ia praktikal untuk membolehkan saya menjaja setiap hari," katanya yang tinggal di Kampung Ayam Pencen, Bagus, di sini.

Disiarkan pada: August 20, 2021 @ 3:56pm
d