mutakhir

Ibu tunggal cekal sara tiga anak

Oleh Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Sering terputus makanan membuatkan empat beranak dari Kampung Tok Ku Sering, di sini, cekal bertahan dengan lapar dan tidak sanggup menebalkan muka meminta simpati.

Ibu tunggal, Mek Zah Mat Hassan, 56, yang perlu menyara empat daripada lapan anaknya termasuk seorang yang mengalami kemurungan dengan bekerja sebagai pemotong ayam di gerai makan di sini.

Mek Zah berkata, upah RM10 sehari diterima tidak mencukupi walaupun dibelanjakan untuk makan seharian dan mereka bernasib baik apabila kerap mendapat sedekah daripada penduduk kampung.

"Hanya saya bekerja bagi menyara tiga anak lelaki yang menetap bersama kerana anak keempat, Aby Shahril Raja Jaya, 27, mengalami kemurungan sejak tiga tahun lalu manakala adiknya, Raja Amir Zulaika, 25, patah kaki kerana kemalangan jalan raya.

"Anak bongsu pula, Raja Amirul Syafiq, 13, masih kecil manakala empat lagi anak sudah berumahtangga dan menetap berasingan, malah mereka hidup susah," katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Terdahulu mereka menerima kunjungan rombongan Akademi Memandu Nasrom (AMN) Sdn Bhd yang menyampaikan sumbangan bakul makanan menerusi program AMN Prihatin sambil bertanya khabar.

Mek Zah yang kematian suami sejak tiga tahun lalu berkata, dia berjalan untuk ke tempat kerja di gerai makan terletak satu kilometer (km) dari rumahnya bermula 5 pagi memandangkan hanya memiliki sebuah motosikal, tetapi tidak mahir menunggang.

Katanya, jika ada lauk pauk tidak habis dijual, pemilik gerai membenarkannya untuk membawa pulang dan hidangan itu dapat dinikmati mereka empat beranak.

"Kami dikelilingi orang baik yang bukan saja memberikan makanan, malah bekalan elektrik dibayar seorang individu pemurah manakala bil air dibiayai AMN.

"Aby Shahril yang mengalami kemurungan sejak pulang ke kampung selepas menetap di Kuala Lumpur tidak mendapat bantuan kerana tiada kad orang kurang upaya (OKU) berikutan enggan ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

"Dia melarikan diri beberapa kali termasuk pernah memanjat pokok setinggi lebih lima meter apabila diberitahu ingin ke hospital menyebabkan kami buntu untuk memujuknya.

"Sekurang-kurangnya jika ada kad OKU, dapatlah dia membuat permohonan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan ringan sedikit belanja kami," katanya.

Disiarkan pada: August 21, 2021 @ 1:30pm
d