mutakhir

Ismail Sabri tiba di Istana Negara, angkat sumpah Perdana Menteri ke-9 [METROTV]

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di Istana Negara bagi Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Perdana Menteri Kesembilan, hari ini.

Kenderaan membawa Naib Presiden Umno yang juga Ahli Parlimen Bera itu, memasuki Pintu Dua Istana Negara pada jam 2.12 petang.

Istiadat dijadualkan berlangsung di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, jam 2.30 petang.

Ismail Sabri, 61, mengisi kekosongan selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan sebagai perdana menteri kelapan pada 16 Ogos lalu, susulan kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Istana Negara dalam kenyataan semalam memaklumkan Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Ismail Sabri sebagai perdana menteri yang baharu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan itu diumumkan, selepas berlangsungnya Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang dipengerusikan Al-Sultan Abdullah selama dua jam di Istana Negara semalam.

Pada 17 Ogos lalu, Seri Paduka berkenan menerima menghadap ketua dan wakil parti-parti politik utama negara dan pada hari sama, menitahkan kesemua 220 Ahli Dewan Rakyat mencalonkan seorang Ahli Dewan Rakyat untuk dilantik Perdana Menteri menerusi surat akuan (statutory declaration) yang perlu dihantar kepada Istana Negara sebelum 4 petang, Rabu.

Menerusi surat akuan itu, Ismail Sabri yang menggalas jawatan Timbalan Perdana Menteri sebelum ini, mendapat 114 sokongan Ahli Parlimen untuk dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan dan membentuk kerajaan.

Dalam kerajaan terdahulu, Ismail Sabri turut memegang portfolio Menteri Pertahanan selain diberi tanggungjawab sebagai Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) bagi menangani aspek bukan kesihatan situasi Covid-19 negara.

Disiarkan pada: August 21, 2021 @ 2:33pm
d