mutakhir

Bantu selamat lelaki tertimbus konkrit dalam tragedi kepala air

Oleh Izad Thaqif Hassan

Sungai Petani: Khidmat ahli Persatuan Sukan Mendaki Negeri Kedah (HACCK) turut ditagih bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) berikutan tragedi kepala air di Gunung Jerai, Yan pada Rabu lalu.

Ini kerana Gunung Jerai dan Pusat Rekreasi Titi Hayun dianggap lokasi sinonim dengan mereka kerana mahir dengan selok-belok laluan di kawasan terbabit.

Malah, mereka turut menjadi penunjuk arah kepada pasukan penyelamat, selain menyediakan kemudahan logistik.

Presiden HACCK Nazrilazdin Jamaludin berkata, mereka memberi bantuan dalam operasi SAR di kawasan Gunung Jerai dan Titi Hayun kerana ahlinya mengetahui laluan di kawasan itu.

"Selain menjadi penunjuk arah, kami juga membawa anggota pasukan SAR ke lokasi yang lebih selamat sekiranya berlaku bencana secara tiba-tiba ketika operasi dilakukan.

"Kepercayaan itu diberikan kerana ahli HACCK mahir dengan laluan di kawasan terbabit dan kami bekerjasama dengan agensi penyelamat dalam usaha mencari mangsa yang masih hilang," katanya.

Nazrilazdin menyifatkan tragedi kepala air di Gunung Jerai ini antara bencana amat dahsyat selain tsunami yang pernah melanda negara pada 2004 lalu.

"Bayangkan, pasukan kami yang memang sinonim dengan kawasan ini terkejut sebaik tiba di lokasi kerana ia sepenuhnya berubah 360 darjah.

"Dalam keadaan cuaca gelap, kami tidak dapat mengenal pasti kedudukan tepat lokasi selain melihat kawasan Titi Hayun umpama padang jarak padang terkukur," katanya.

Menurutnya, pengalaman yang dimiliki selain kerjasama anggota bomba membuatkan mereka mampu melaksanakan operasi SAR dengan lancar.

"Selepas itulah seorang demi seorang mangsa berjaya ditemui dan dijejaki, dengan ada antara mereka memberikan maklumat yang sangat membantu kami dalam pencarian mangsa seterusnya.

"Ada mangsa iaitu seorang lelaki ditemui masih hidup, namun terpaksa bertarung dengan maut kerana tertimbus konkrit dinding rumah yang dipenuhi lumpur manakala mayat abangnya ditemui tidak jauh dari situ," katanya.

Disiarkan pada: August 21, 2021 @ 8:49pm
d