mutakhir

Ismail Sabri ajak bersepakat selamatkan 'Keluarga Malaysia' [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid dan Suraya Roslan

Putrajaya: "Kita perlu bersepakat untuk menyelamatkan keluarga kita, iaitu Keluarga Malaysia," kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapan sulung beliau hari ini selepas mengangkat sumpah jawatan itu semalam.

Beliau menyeru kepada seluruh Ahli Dewan Rakyat, sama ada dalam atau luar kerajaan supaya menggembleng tenaga untuk memulihkan semula keadaan negara.

Katanya, semua pihak perlu berfikiran terbuka menerima dan mencungkil persamaan dengan tidak lagi menggali perbezaan.

"Saya menggunakan pendekatan Keluarga Malaysia kerana frasa ini sifatnya lebih inklusif dan merentasi sempadan agama, bangsa serta kaum.

"Kita menyedari kewujudan sesebuah keluarga yang berkahwin dengan pelbagai bangsa dan agama, tetapi nilai kekeluargaan telah mengikat mereka semua.

"Sebab itu, konsep Keluarga Malaysia diambil kerana bagi saya keutuhan negara terikat dengan nilai-nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga," katanya.

Ucapan beliau yang disiarkan secara langsung di secara langsung jam 5.30 petang hari ini menerusi platform media TV3, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Astro Awani dan TV AlHijrah.

Beliau berkata, sebagai sebuah keluarga maka semua diibaratkan saling melengkapi, umpama anggota tubuh yang saling memerlukan.

"Setiap daripada anda adalah seperti keluarga saya sendiri sama ada anak muda, mahupun yang telah berusia.

"Saya menginsafi kepayahan, kesengsaraan, dan keperitan hidup yang mencengkam kita semua.

"Ada yang hilang mata pencarian, ada pula yang putus bekalan makanan, dan bukan sedikit yang telah dibuang kerja," katanya.

Beliau berkata, amat memahami keringat dan nilai sesuap nasi kerana dilahirkan dan membesar dalam keluarga anak petani yang susah.

Oleh sebab itu, katanya, beliau sangat menghayati kepayahan dan keperitan hidup rakyat pada masa negara sedang menghadapi krisis ekonomi yang berpunca daripada pandemik Covid-19.

"Saya akan memastikan setiap intervensi dan usaha pihak kerajaan untuk menurunkan kes Covid-19 dilakukan secara lebih komprehensif.

"Ia bakal dilaksanakan melalui kerjasama strategik rentas kerajaan dengan penglibatan pemegang taruh, agensi kerajaan dan pihak swasta bagi memastikan sistem kesihatan negara kembali stabil," katanya.

Disiarkan pada: August 22, 2021 @ 6:04pm
d