mutakhir

RM78 juta baik pulih infrastruktur dan bantuan mangsa banjir [METROTV]

Oleh M Hifzuddin Ikhsan dan Noorazura Abdul Rahman

Yan: Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan keseluruhan RM78 juta bagi baik pulih infrastruktur dan bantuan kepada lebih 1,000 keluarga mangsa bencana kepala air dan banjir lumpur di daerah ini dan Merbok.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara kerja bakal dilakukan adalah membaiki dan naik taraf sistem saliran sepanjang 27 kilometer berjumlah RM5 juta serta pembinaan dua jambatan baharu bernilai RM23 juta.

Beliau berkata, sebagai langkah pencegahan, Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) merancang membina Empangan Sabo bernilai RM20 juta bagi menghalang pokok tumbang dihanyutkan.

"Selain itu kerajaan bersetuju menaik taraf saliran Loji Rawatan Air (LRA) Gurun dan Tupah bernilai RM2 juta bagi memastikan gangguan bekalan air di Merbok dapat diselesaikan.

"Selain itu, sejumlah RM25 juta diperuntuk bagi pembaikan kemudahan pihak berkuasa tempatan (PBT), sektor pelancongan desa, membaiki sistem bekalan air masyarakat dan kerosakan kawasan tanaman padi serta pelbagai infra kecil lain," katanya pada sidang media di Masjid Jame' Badlishah di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Guar Chempedak Datuk Ku Rahman Ku Ismail dan Ketua Setiausaha Kasa Datuk Seri Zaini Ujang.

Dalam kejadian Rabu lalu, fenomena kepala air dan banjir lumpur melanda Yan, Merbok dan Gurun menyebabkan kerosakan teruk terhadap pelbagai kemudahan serta kediaman penduduk.

Ismail Sabri berkata, sejumlah RM3 juta juga diperuntuk bagi baik pulih rumah dan kerosakan lain dialami mangsa bencana berkenaan.

"Jadi saya harap peruntukan ini dapat membantu menyelesaikan masalah berlaku di sini dan kita akan minta semua kerja baik pulih dibuat secepat mungkin berikutan penduduk masih berhadapan kesukaran ketika ini.

"Bagi keperluan tambahan lain boleh dimaklumkan kepada Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor dan beliau akan memaklumkan kepada Kerajaan Pusat," katanya.

Beliau turut merakamkan simpati kepada semua terkesan akibat bencana berkenaan dan mengucapkan takziah kepada enam keluarga mangsa yang terkorban.

Turut diumumkan sebelum ini adalah bantuan RM500 kepada setiap keluarga terjejas selain bantuan RM5,000 kepada keluarga mangsa yang terkorban.

Disiarkan pada: August 23, 2021 @ 5:20pm
d