mutakhir

Kastam rampas 9 juta batang rokok seludup diikrar pakaian

Oleh Ruwaida Md Zain

Pelabuhan Klang: Cubaan menyeludup rokok putih yang diikrarkan sebagai pakaian gagal apabila berjaya dihidu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah, Unit III (LTAKuala Lumpur), hujung Julai lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam, Zon Tengah, Datuk Zazuli Johan berkata, pasukannya berjaya mematahkan sindiket penyeludupan rokok putih itu pada jam 11.50 pagi di kawasan Pelabuhan Utara di sini.

"Pasukan operasi menahan sebuah kontena di Pelabuhan Utara yang mengandungi dagangan larangan iaitu rokok putih berjenama John D-Blend.

"Semakan mendapati kontena terbabit diikrarkan sebagai 'garments' bagi mengelakkan dari dikesan oleh pihak JKDM.

"Jumlah anggaran rampasan adalah sebanyak sembilan juta batang rokok membabitkan nilai RM900,000 dengan jumlah duti/cukai sebanyak RM6,030,000," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zazuli berkata, rokok diklasifikasi sebagai dagangan terlarang di bawah Butiran 1, Jadual Ketiga / Bahagian II, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

"Kes ini sedang disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976 atas kesalahan cubaan mengelakkan dengan fraudan duti kastam dan mengelakkan larangan import mengikut bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

"Juga cubaan mengelakkan dengan fraudan duti eksais di bawah Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976," katanya.

Sehubungan itu katanya, orang ramai diminta membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti terbabit.

"Penyeludupan bukan saja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

"JKDM juga menyeru kepada orang awam untuk bekerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam terdekat di semua negeri.

"Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan," katanya.

Disiarkan pada: August 25, 2021 @ 11:13am
d