mutakhir

Program Jaringan Prihatin dilanjutkan sehingga 30 September

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Program Jaringan Prihatin dilancarkan pada Mei lalu khusus untuk golongan B40 akan dilanjutkan sehingga 30 September ini sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Mengumumkan perkara itu menerusi satu ciapan di Twitter hari ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, program itu memberi bantuan sebanyak RM180 atau RM300 kepada kumpulan berkenaan untuk membolehkan mereka memiliki telefon pintar atau menikmati pelan jalur lebar internet.

"Ini bagi memastikan tiada rakyat yang ketinggalan dalam gelombang pendigitalan ke arah ekonomi digital," kata suruhanjaya itu.

Dilancarkan kerajaan dengan peruntukan RM3.5 bilion, Jaringan Prihatin adalah satu inisiatif di bawah Belanjawan 2021 dan ditambah baik di bawah pakej Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa).

Pendaftaran bagi penerima yang layak pada awalnya dibuka dari 5 Mei sehingga 31 Julai menerusi 12 syarikat telekomunikasi yang mengambil bahagian iaitu Celcom, Digi, Maxis, Mcalls, redONE, speakOUT, Tune Talk, U Mobile, unifi Mobile, XOX Mobile, YES dan Yoodo.

Disiarkan pada: August 25, 2021 @ 2:14pm
d