mutakhir

Petugas jenazah Covid-19 meninggal sehari sebelum ulang tahun kelahiran

Oleh Izad Thaqif Hassan

Sungai Petani: Sepatutnya dia meraikan ulang tahun kelahiran yang ke-21 hari ini, namun takdir Ilahi menentukan Muhammad Zikry Zafuan meninggal dunia sehari sebelum sambutan itu, selepas terbabit kemalangan di persimpangan lampu isyarat berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Lebih menyedihkan apabila siasatan awal polis mendapati kemalangan yang berlaku kira-kira 5 petang semalam, berpunca daripada kecuaian sebuah treler yang melanggar lampu merah sebelum bertembung dengan motosikal ditunggang anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuala Muda itu.

Difahamkan ketika kejadian, Allahyarham dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bandar Puteri Jaya selepas selesai menguruskan jenazah pesakit Covid-19.

Allahyarham yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan, tinggal bersama bapa saudaranya di sini, dan aktif dalam pengurusan jenazah Covid-19 oleh APM Kuala Muda bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sukarelawan pengebumian jenazah pesakit Covid-19 secara percuma, Mohd Ridzuan Osman, 34, berkata dia mengenali arwah sejak dua tahun lalu dan sudah menganggap Allahyarham seperti adiknya sendiri.

"Hubungan kami semakin rapat sejak kebelakangan ini kerana sama-sama terbabit dalam pengurusan jenazah Covid-19 dan Allahyarham antara sukarelawan paling muda.

"Allahyarham memang aktif malah boleh dikatakan tidak pernah sekalipun dia menolak untuk melaksanakan tugas menguruskan jenazah pesakit Covid-19," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Ridzuan berkata, Allahyarham seorang yang ringan tulang, peramah serta ceria dan pemergiannya sangat dirasai rakan sekerja dan orang yang mengenalinya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, dalam siasatan awal, saksi mendakwa pemandu treler berumur 53 tahun tidak berhenti ketika lampu isyarat bertukar merah.

Akibatnya, katanya, kenderaan itu bertembung dengan mangsa yang menunggang motosikal dari simpang kiri.

"Penunggang motosikal meninggal dunia akibat parah di kepala, manakala pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Disiarkan pada: August 25, 2021 @ 2:17pm
d