mutakhir

Perubahan pucuk pimpinan tidak jejaskan sistem perkhidmatan awam

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Sistem perkhidmatan awam negara tidak akan terjejas walaupun berlaku perubahan landskap pucuk pimpinan negara, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman.

Beliau berkata, perubahan politik yang berlaku kini tidak seharusnya mempengaruhi perjalanan penyampaian sistem perkhidmatan awam.

"Saya ambil contoh pada 2018, banyak kegusaran dilontarkan apabila kita bertukar kerajaan. Namun, tidak ada satu pun perkhidmatan awam yang terjejas.

"Kita masih lagi boleh mendapatkan perkhidmatan kesihatan di hospital, perkhidmatan pendidikan di sekolah, perkhidmatan kaunter seperti pelesanan, pembaharuan kad pengenalan dan sebagainya," katanya ketika ditemubual dalam program Selamat Pagi Malaysia di saluran RTM, hari ini.

Beliau berkata kelancaran perkhidmatan awam ini juga dapat dibuktikan dengan projek pembangunan dan program kerajaan yang tetap berjalan seperti biasa ketika ini termasuklah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Selain itu, Mohd Khairul Adib berkata, penjawat awam seharusnya bersikap neutral atau berkecuali, tidak mengamalkan sikap berpolitik dan mengikut arahan yang diberikan.

Beliau juga berharap penjawat awam dapat sentiasa kekal efisien dan berpegang teguh kepada ikrar dan prinsip akauntabiliti dalam menjalankan tugas dan berkhidmat untuk negara.

Disiarkan pada: August 25, 2021 @ 2:40pm
d