mutakhir

Pemimpin PH bertemu Perdana Menteri hari ini

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Satu pertemuan antara pemimpin Pakatan Harapan (PH) dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berlangsung 2 petang hari ini dipercayai berkaitan penyertaan pembangkang dalam Majlis Pemulihan Negara dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil berkata, pertemuan antara Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng bersama Ismail Sabri berlangsung di Pejabat Perdana Menteri.

"Jam 2 petang berlangsung pertemuan antara DS (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng bersama DS Ismail Sabri Yaakob atas jemputan Pejabat Perdana Menteri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, PH menerusi satu kenyataan bersama hari ini memaklumkan, pihaknya mempertimbangkan jemputan Perdana Menteri baharu untuk menyertai Majlis Pemulihan Negara dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

"Demi memastikan ia dibuat secara ikhlas untuk menangani pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi serta bukan sekadar tangkap muat atau menjadi 'rubber stamp' kepada pandangan kerajaan semata-mata," katanya.

Selain itu, Majlis Presiden PH memutuskan Ketua Pembangkang akan mengadakan satu pertemuan dengan pemimpin utama semua parti pembangkang dalam masa terdekat termasuk menjemput mereka untuk menyertai atau bekerjasama dengan PH.

"Ini selaras dengan ketetapan Pemukiman Kepimpinan Pakatan Harapan di Port Dickson pada April lalu yang menyatakan keterbukaan PH berunding dan bekerjasama serta menggembleng seluruh tenaga di bawah konsep 'Khemah Besar' demi memantapkan blok pembangkang merangkumi 105 Ahli Parlimen.

"Pertemuan ini antara lain akan membincangkan isu politik semasa serta persiapan bagi menghadapi sidang Parlimen yang bakal bermula 6 September," kata kenyataan itu.

Katanya, kemungkinan satu sidang khas diadakan lebih awal dari itu untuk membahaskan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri serta pengisian kekosongan Timbalan Speaker Dewan Rakyat berikutan peletakan jawatan Datuk Seri Azalina Othman Said.

"Fokus Pakatan Harapan adalah ke arah menjadi pembangkang yang berkesan dengan mengutarakan kritikan, teguran, syor dan pandangan yang membina serta bertanggungjawab, selain membentangkan cadangan alternatif yang bersesuaian kepada dasar kerajaan terutama berkait usaha menangani Covid-19, menghidupkan semula ekonomi, serta menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat.

"PH akan mengutamakan reformasi institusi termasuk Parlimen, reformasi fiskal, reformasi perundangan termasuk Undi 18 dan Akta Anti Lompat Parti, penambahbaikan Pelan Pemulihan Negara, serta menegaskan kebebasan sistem kehakiman yang tidak patut dikacau ganggu oleh mana-mana pihak," katanya.

Disiarkan pada: August 25, 2021 @ 2:42pm
d