mutakhir

Musim tengkujuh dijangka bermula awal November

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) menjangkakan musim tengkujuh tahun ini bermula awal November depan.

Ketua Pengarahnya Muhammad Helmi Abdullah berkata, berdasarkan analisis dan pemantauan, monsun timur laut atau musim tengkujuh tahun ini dijangka tidak bermula lebih awal daripada kebiasaannya walaupun beberapa kawasan di negara ini mengalami cuaca lembap.

"Musim tengkujuh dijangka akan bermula pada awal November depan.

"Malaysia juga sedang mengalami fasa monsun barat daya melemah (monsoon break) yang menyebabkan keadaan cuaca lembap sehingga menyebabkan banjir di beberapa kawasan khususnya di negeri Pantai Barat dan Semenanjung Malaysia," katanya kepada Harian Metro.

Muhammad Helmi berkata, antara negeri di utara dan selatan Semenanjung yang mengalami fasa monsun barat daya melemah adalah Perlis, Kedah, Pulau Pinang serta Johor.

"Keadaan ini disebabkan berlakunya perubahan corak tiupan angin memasuki rantau negara yang membawa kelembapan tinggi seterusnya menyumbang kepada pembentukan awan aktif dan hujan.

"Corak cuaca lembap ini dijangka berterusan sepanjang minggu ini," katanya.

Ketika ini, beberapa kawasan di Perak dan Kedah berlaku bencana banjir sejak Rabu lalu.

Petang Rabu lalu, fenomena kepala air yang berlaku di Gunung Jerai di Kedah menyebabkan banjir sehingga menjejaskan kira-kira 1,000 rumah di Yan dan Kuala Muda, selain mengorbankan empat nyawa setakat ini.

Disiarkan pada: August 25, 2021 @ 3:30pm
d