mutakhir

75 penduduk Pulau Perhentian positif Covid-19

Oleh Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Sekatan pergerakan bagi penduduk di Pulau Perhentian, Besut, terpaksa dikuatkuasakan bagi mengelak berlakunya penularan pandemik Covid-19.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, sekatan pergerakan dikuatkuasakan sejak Jumaat lalu susulan 75 penduduk di pulau peranginan itu disahkan positif Covid-19.

Beliau berkata, penduduk disahkan positif itu kini dirawat di Hospital Setiu (HS) dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Kem Wawasan, Besut serta Institut Pendidikan Guru (IPG) di Kampus Sultan Mizan, Besut.

"Semua penduduk yang menjalani proses rawatan itu dalam keadaan stabil.

"Kami sudah melakukan proses ujian calitan Covid-19 selepas 75 penduduk di pulau peranginan itu disahkan positif," katanya kepada media, di sini, hari ini.

Dr Kasemani berkata, proses ujian saringan membabitkan 70 peratus penduduk dilaksanakan sejak Jumaat lalu dan selesai sepenuhnya hari ini.

Beliau berkata, punca penularan Covid-19 bukan disebabkan pelancong, sebaliknya pergerakan penduduk yang tinggal di pulau peranginan itu yang berulang-alik melaksanakan urusan di tanah besar.

"Bagi mengekang penularan lebih besar, sekatan pergerakan keluar masuk ke pulau berkenaan dikuatkuasakan sejak Jumaat lalu.

"Penduduk berstatus kontak rapat diarahkan menjalani kuarantin di rumah dengan pengawasan ketat oleh penguat kuasa kesihatan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.

Disiarkan pada: August 25, 2021 @ 7:33pm
d