mutakhir

Polis tahan sepasang remaja disyaki buang bayi

Oleh Norsyazwani Nasri

Kuching: Polis menahan sepasang remaja berusia 16 tahun bagi membantu siasatan kes penemuan bayi dalam bakul motosikal di Kampung Siol Kandis di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, pihaknya menerima panggilan awam memaklumkan penemuan bayi perempuan yang sihat dan sempurna pada 5.30 pagi.

"Hasil tindakan pantas polis berjaya menahan remaja itu yang juga kekasih dalam tempoh kurang empat jam.

"Turut dirampas pakaian yang dipakai oleh kedua-dua mereka, sebuah motosikal, telefon bimbit dan sehelai tuala," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahsmon berkata, dalam soal siasat awal, pasangan itu mengaku meninggalkan bayi berkenaan selepas dilahirkan kira-kira jam 2 pagi.

"Remaja perempuan dan bayi berkenaan telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk pemeriksaan lanjut, manakala remaja lelaki ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya.

Terdahalu, Harian Metro melaporkan seorang lelaki di Kampung Siol Kandis terkejut menemui bayi perempuan cukup sifat dan sihat di dalam raga motosikalnya ketika mahu keluar bekerja.

Berita berkaitan

Lelaki terkejut jumpa bayi dalam bakul motosikal

Disiarkan pada: August 26, 2021 @ 3:30pm
d