mutakhir

Angkat sumpah barisan Kabinet Isnin ini

Oleh Isma Ismail

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri memaklumkan bahawa kesemua barisan Kabinet yang dilantik akan mengangkat sumpah di Istana Negara di sini, pada Isnin ini.

Menurutnya, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sudah memperkenan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di hadapan baginda yang akan diadakan pada 2.30 petang.

Katanya, barisan Kabinet yang diumumkan beliau hari ini juga sudah mendapat dapat perkenan Al-Sultan Abdullah.

"Ogos yang bermakna ini, marilah kita bangkit bersama untuk kembalikan semula sinar kegemilangan Malaysia di mata dunia.

"Saya ucapkan tahniah kepada semua anggota Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri. Pesan saya hanya satu-jalankan tugas yang diberikan dengan amanah, demi rakyat dan negara.

"Saya juga ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada ketua-ketua parti yang memberikan pandangan, sokongan, dan kerjasama dalam pembentukan barisan Kabinet ini," katanya dalam ucapan pembentukan Kabinet di Putrajaya hari ini.

Menurut beliau, semoga Allah SWT memberikan kekuatan kepada barisan Kabinet untuk menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan beramanah.

"Ayuh membulat tekad, bekerja bersama rakyat!," katanya.

Disiarkan pada: August 27, 2021 @ 12:17pm
d