mutakhir

Shahar, Abdul Rahman sedia berkhidmat

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Pelantikan semula sebagai Timbalan Menteri Kewangan I dianggap sebagai amanah dan tanggungjawab perlu ditunaikan ketika negara masih bergelut dengan pandemik Covid-19.

Ahli Parlimen Paya Besar, Shahar Abdullah berkata, beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas kepercayaan untuk kembali menyertai barisan Kabinet Malaysia.

"Dengan portfolio di kementerian paling penting dan juga 'central agencies' kepada kerajaan, insya-Allah saya akan berganding bahu dengan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa.

"Ini untuk memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi keutamaan dan dalam masa sama kepentingan ekonomi negara dapat dijaga serta dipulihkan.

"Sesungguhnya, jawatan ini bukanlah suatu keistimewaan untuk saya, tetapi amanah yang cukup sarat dengan tanggungjawab dan kewajipan yang perlu ditunaikan lebih-lebih lagi dalam situasi pandemik sekarang," katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar 1 berkata, beliau berterima kasih di atas pelantikannya dan membangunkan masyarakat luar bandar sebagai misi.

"Mohon iringan doa semua dalam melaksanakan amanah ini, terima kasih," katanya.

Shahar dan Abdul Rahman, masing-masing dilantik kembali sebagai Timbalan Menteri I di Kementerian Kewangan dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Disiarkan pada: August 27, 2021 @ 12:55pm
d