mutakhir

Mohon bantu Jayden

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Detik kelahiran Muhammad Jayden Rifiansyah paling bermakna buat Rozalia Jerry dan suami, Mohd Jamal Marasad selepas setahun menanti.

Namun, kegembiraan Rozalia, 29, dan Mohd Jamal, 34, hanya seketika apabila bayi mereka disahkan menghidap masalah jantung berlubang pada usianya baru dua bulan.

Suri rumah dari Semporna, Sabah itu berkata, Muhammad Jayden Rifiansyah yang kini berusia tiga bulan dilahirkan secara normal pada 7 Mei lalu.

"Saya rasa tak sedap hati apabila dia selalu tak dapat habiskan susu. Bacaan jaundis Jayden juga tinggi dan berat badannya tidak naik-naik daripada 2.99 kilogram sejak dilahirkan.

"Kami membawanya ke Hospital Tawau dan pemeriksaan pakar mengesan bunyi jantungnya tidak normal," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut pakar mengesahkan bayinya menghidap masalah jantung berlubang atau kecacatan septum ventrikel (VSD).

"Pakar memaklumkan anak saya perlu dibedah segera bagi menutup dua lubang pada jantungnya.

"Pembedahan perlu dilakukan di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur dengan kosnya mencecah RM70,000.

"Namun, dengan pendapatan suami sebagai penyelia pembersihan sebanyak RM1,200 sebulan, mana mungkin kami mampu menyediakan wang sebanyak itu," katanya.

Berikutan itu, pasangan itu merayu sumbangan orang ramai bagi kelangsungan hidup satu-satunya permata hati mereka itu.

"Saya sangat sedih sebab tak pernah sangka rupanya bayi saya ini ada masalah jantung.

"Sebagai ibu, saya mahu melihat anak saya sihat dan membesar seperti bayi lain.

"Saya berharap ada yang sudi memberi sumbangan dan semoga pembedahan ini berjalan lancar," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP (Maybank 514105323170) atau melalui cek disertai nama pesakit (Muhammad Jayden Rifiansyah Mohd Jamal).

Cek boleh dihantar ke Jabatan Komunikasi Korporat Media Prima, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur atau hubungi talian 03-24278678.

Disiarkan pada: August 27, 2021 @ 1:27pm
d