mutakhir

Ramai langgar 'zebra crossing'

Oleh Samadi Ahmad

Putrajaya: Masih ramai pengguna jalan raya yang ingkar dan mengabaikan undang-undang termasuk tanda lintasan belang (zebra crossing) di pusat pentadbiran kerajaan di sini.

Ketua Polis Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya sudah mengeluarkan sebanyak 28 saman atas pelbagai kesalahan menerusi operasi Op Zebra Crossing bermula 22 hingga 25 Ogos lalu di pusat kerajaan ini.

Menurutnya, operasi itu dikuatkuasakan sepenuhnya oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Putrajaya selepas tamat tempoh advokasi atau nasihat diadakan.

"Operasi ini bertujuan mendidik dan mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya mematuhi dan peka kepada tanda lalu lintas yang terdapat di daerah ini.

"Pengguna jalan raya dinasihatkan tidak mengabaikan tanda lalu lintas demi keselamatan semua pihak," katanya.

Pengguna yang melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan saman mengikut Seksyen 78 Akta Pengangkutan Jalan Raya (APJ) 1987.

Lintasan belang diwujudkan bagi memberikan laluan kepada pejalan kaki yang sedang menunggu di tepi jalan kecuali jika ada lampu isyarat.

Namun kerap kali pemandu kenderaan enggan berhenti bagi memberi laluan kepada pejalan kaki.

Pemandu kenderaan wajib memperlahankan kenderaan terlebih dahulu dan bersedia untuk berhenti jika melihat ada pejalan kaki yang hendak melintas.

Ia sebagai langkah pencegahan awal sebelum ada perkara yang tidak diingini berlaku.

Disiarkan pada: August 27, 2021 @ 8:43pm
d