mutakhir

PMYT: 3 NGO gesa polis, jabatan agama ambil tindakan segera

Oleh Skuad Khas Harian Metro

Kuala Lumpur: Tiga badan bukan kerajaan (NGO) tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini susulan pendedahan Metro Ahad mengenai ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT).

Setiausaha Agung Gerakan Belia 4B Malaysia Mohamad Nazri Abdul Latiff berkata, pihaknya terpanggil membuat laporan berkenaan kerana bimbang dengan ancaman keselamatan yang ditimbulkan dakyah terbabit.

Katanya, ia adalah satu perkara yang serius dan perlu diberi perhatian oleh pihak berkuasa memandangkan wujudnya elemen seruan berperang yang dibawa pengasas PMYT dikenali sebagai Sittah Annur.

"Ia satu gerakan yang berbahaya kerana dinyatakan di dalam laporan Metro Ahad bahawa ada 29 lokasi dalam perancangan kumpulan ini. Bermakna ia bukan perkara main-main.

"Lokasi perjumpaan juga membabitkan beberapa sekolah dan saya minta ibu bapa memantau anak-anak mereka supaya tidak terjebak dengan fahaman mengelirukan oleh mana-mana pihak," katanya ketika ditemui Harian Metro selepas membuat laporan polis di IPD Dang Wangi, hari ini.

Presiden Alumni Parlimen Belia Malaysia Mohamad Nazrin Faiz Che Abdul Aziz, pula menegaskan gerakan seperti itu perlu dibendung segera khususnya oleh polis dan jabatan agama Islam negeri-negeri kerana ia jelas bertentangan dengan agama.

Katanya, kegagalan mengambil tindakan segera akan menyebabkan imej Islam dipandang buruk masyarakat walaupun ia tidak memberikan gambaran keseluruhan mengenai kesucian Islam.

"Jadi kita perlukan kesahihan, bukannya mencari kesalahan. Kita harap usaha ini akan mendorong tindakan proaktif dari pihak berwajib kerana perkara ini jelas satu ancaman kepada negara.

"Penguatkuasaan terbaik adalah perlu untuk mencegah lebih banyak ajaran mengelirukan ini disebarkan di dalam negara kita. Saya menyeru orang ramai supaya tabayyun, buat semakan terlebih dulu kerana kita ada pihak berwajib yang boleh memberikan penjelasan," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Belia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Abdul Hakim Hafizi Hamizan berkata, golongan belia juga tidak boleh memandang remeh dengan isu sebegini sebaliknya memainkan peranan untuk membanteras gerakan menyeleweng.

Menurutnya, menerusi komen netizen di media sosial, terdapat pengikut yang taasub dengan ajaran itu dan ia satu petunjuk yang membimbangkan.

"Saya lihat satu persatu komen dan mendapati ada yang menyokong dan ada yang tidak. Sebagai rakyat Malaysia yang matang, saya harap semua pihak tidak terlalu taasub supaya kesucian Islam terus terbela," katanya.

Berita berkaitan:

  • 'Bersiap hadapi Perang Dunia Ketiga'
  • Disiarkan pada: August 29, 2021 @ 5:36pm
    d