mutakhir

Boleh konvoi dengan kebenaran MKN, polis

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Aktiviti konvoi berkenderaan dibenarkan dilaksanakan di Perak terutama bagi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia dengan mendapat kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Perak dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengarah MKN Perak, Khairul Ridzuan Mat Said berkata, ia bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19 susulan penguatkuasaan Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) sentiasa dipatuhi sepanjang aktiviti itu diadakan.

Katanya, kebenaran dipohon itu turut bertujuan memastikan aktiviti berlangsung dalam keadaan terkawal selain mengetahui lokasi dan tujuan sebenar pergerakan dibuat.

"Apabila kita dalam keadaan berkumpul beramai-beramai seperti aktiviti konvoi, susah untuk menjaga penjarakan fizikal.

"Jadi, individu yang bertujuan membuat konvoi dan sebagainya, perlu mendapatkan kebenaran MKN dan PDRM.

"Membuat majlis sebegini akan menjadi kesalahan jika tidak mengikut protokol tertentu digariskan dan ia akan jadi satu amalan seterusnya membuka ruang seolah-olah tiada SOP diamalkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Bersama 30 Warga Media Negeri Perak 2021 di perkarangan Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Jalan Raja Musa Mahadi, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kemungkinan timbul pertikaian daripada pihak tertentu termasuk badan bukan kerajaan (NGO) yang dihalang daripada melaksanakan konvoi sempena Hari Kemerdekaan ke-64, pada ketika beberapa pihak khususnya jabatan kerajaan dibenarkan untuk melaksanakan aktiviti sedemikian.

Turut hadir Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Perak, Hasan Ashaari Abu Bakar.

Beliau berkata, setakat ini rata-rata permohonan bagi aktiviti konvoi dan perkumpulan sempena Hari Kemerdekaan diterima daripada agensi kerajaan, namun tidak secara terperinci menyebutkan jumlahnya.

Disiarkan pada: August 30, 2021 @ 3:49pm
d