mutakhir

Datuk Adly hadapi 69 tuduhan pemalsuan dokumen tender kerajaan

Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Ahli perniagaan bergelar Datuk didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 69 tuduhan memalsukan dokumen pelbagai projek kerajaan antara Jun 2019 hingga September 2020.

Tertuduh, Adly Kamarudin, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Adly dituduh melakukan persubahatan dengan mengarahkan lapan individu iaitu pekerjanya untuk memalsukan dokumen pelbagai projek dengan tujuan menipu Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia.

Kesemua projek itu termasuk projek jalan, menaik taraf dan ubah suai perpustakaan; pembinaan kolej dan penghawa dingin di beberapa universiti awam, bangunan hospital, rumah kakitangan Felda serta kerja-kerja penyelenggaraan pepasangan mekanikal di kem-kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kuala Lumpur dan Bentong, Pahang.

Tertuduh melakukan perbuatan bermula Jun 2019 hingga September 2020 di sebuah banglo di Bandar Baru Bangi dan didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, sekiranya sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad Akram Gharib, manakala tertuduh diwakili peguam Md Yunos Shariff.

Terdahulu, Ahmad Akram menawarkan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh berserta syarat tambahan, dia perlu melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM berhampiran dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Sementara Md Yunos memaklumkan anak guamnya tiada bantahan terhadap nilai jaminan yang ditawarkan.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan seperti ditawar bersama syarat berkenaan dan menetapkan 3 November depan untuk sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan SPRM pada April lalu, menumpaskan sindiket kartel projek dengan penahanan tujuh individu termasuk ketua sindiket, yang didakwa memonopoli tender daripada beberapa kementerian dan agensi kerajaan di seluruh negara dengan nilai RM3.8 bilion.

Disiarkan pada: September 1, 2021 @ 3:58pm
d