mutakhir

Wanita cemas terima nota ugutan, objek berbentuk tangan

Oleh Norzamira Che Noh

Klang: Wanita berdepan situasi cemas selepas menerima bungkusan kotak berisi nota ugutan serta objek berbentuk tangan dengan cecair berwarna merah pada Isnin lalu.

Bungkusan diterima mangsa di rumahnya di Jalan Kampung Saim dekat sini, jam 6.30 petang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohd Khairi Shafie berkata, mangsa yang berusia 29 tahun itu kemudian membuat laporan polis pada jam 7.30 malam, hari yang sama.

Katanya, nota berkenaan mengandungi mesej ugutan bahawa pengirim bungkusan akan mencederakan mangsa dan keluarganya.

"Nota itu juga didapati berunsur cacian serta ancaman yang mana suspek mengancam menyimbah asid ke muka mangsa serta rakan-rakannya.

"Pengirim kotak itu turut mengancam akan membakar rumah ibu bapa mangsa selain memintanya berhati-hati ketika pergi kerja di sebuah kedai emas di pusat beli-belah di Setia Alam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa turut menerima beberapa pesanan mesej di aplikasi WhatsApp berbaur lucah dan ugutan dari nombor tidak dikenali pada keesokan harinya.

Katanya, polis sedang mengesan pengirim bungkusan dan pemilik nombor telefon yang menghantar mesej berkenaan.

"Polis sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan memanggil mangsa untuk dirakamkan keterangan.

"Orang ramai diminta supaya menghentikan perbuatan tidak bermoral serta menyalahi undang-undang yang boleh mendatangkan kegusaran kepada masyarakat," katanya.

Disiarkan pada: September 2, 2021 @ 11:04am
d