mutakhir

Tiga ibu tunggal hangus RM31,500 akibat ditipu

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Sindiket penipuan parcel atau bungkusan dikesan menyasarkan golongan ibu tunggal apabila tiga mangsa mengalami kerugian RM31,500 dalam tempoh tiga hari sehingga semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, pihaknya menerima tiga laporan daripada mangsa berusia 30 hingga 62 tahun.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, mangsa terdiri suri rumah, bekas ejen hartanah dan penyambut tetamu mendakwa berkenalan dengan seorang individu melalui media sosial.

"Dalam kes berkenaan, mangsa dimaklumkan oleh kenalan alam maya itu mengenai penghantaran bungkusan dari luar negara.

"Mereka (mangsa) kemudian diminta untuk membayar sejumlah wang bagi kos penghantaran, namun bungkusan dijanjikan tidak diterima dan mangsa menyedari ditipu.

"Sindiket ini dipercayai menyasarkan golongan wanita bekerjaya dan individu 'kesunyian' sebagai mangsa, serta kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan statistik, sebanyak 115 kertas siasatan dibuka membabitkan kerugian lebih RM1.6 juta berkaitan penipuan parcel di ibu negra bagi tempoh Januari lalu hingga kelmarin.

Katanya, berikutan itu polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada apabila berkenalan dengan individu melalui media sosial.

"Jangan mudah terpedaya dengan tawaran bungkusan dan tidak melakukan transaksi tanpa usul periksa," katanya.

Disiarkan pada: September 2, 2021 @ 2:12pm
d