mutakhir

Majikan jangan culas carum PERKESO pekerja 60 tahun ke atas [METROTV]

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Syarikat kawalan keselamatan antara yang paling banyak dikesan culas mencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan alasan mengambil pekerja berusia 60 tahun ke atas atau yang sudah pencen.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, majikan beranggapan dengan menggaji golongan berkenaan mereka tidak perlu membuat caruman PERKESO.

"Saya lihat isu ini banyak berlaku dalam kalangan syarikat yang mengambil pengawal keselamatan, sebab majikan ingat orang sudah pencen (60 tahun) tidak perlu mencarum PERKESO. Ini tidak adil.

"Justeru tindakan segera akan diambil bagi memantau sama ada semua pekerja sektor ini dilindungi jaringan keselamatan atau tidak. Saya juga akan menjemput persatuan pengawal keselamatan Malaysia (Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia- PPKKM) untuk berbincang mengenainya," katanya kepada pemberita ketika menziarahi E Philomena, 59, di Taman Buntong Ria di sini, hari ini.

Philomena adalah balu kepada pengawal keselamatan, S Thavasagayam, 64, yang meninggal dunia 27 Ogos lalu selepas lapan bulan dirawat akibat diserang ketika bertugas di kolam renang di sebuah kondominium di sini pada Disember 2020.

Balu mangsa menerima tiga faedah PERKESO iaitu Faedah Hilang Upaya Sementara RM12,737; Faedah Pengurusan Mayat PERKESO (RM2,000); dan Faedah Orang Tanggungan sebanyak RM1,143 yang akan dibayar secara bulanan untuk seumur hidup.

Mengulas mengenai tiga faedah PERKESO yang diterima Philomena itu, Saravanan berkata ia adalah di bawah Skim Bencana Pekerjaan.

Katanya, balu mendiang Thavasagayam bernasib baik memandangkan faedah PERKESO yang dibayar kepadanya adalah melalui caruman majikan terdahulu susulan majikan mendiang ketika insiden diserang Disember tahun lalu tidak mencarum PERKESO.

"Ini sangat menyedihkan apabila majikan baharu mendiang tidak mencarum buatnya, namun mujur majikan sebelum ini mencarum PERKESO yang pastinya membela nasib balunya.

"Mangsa tidak mempunyai anak dan cuba bayangkan keadaan balunya jika tiada faedah dari PERKESO. Kita tidak mahu perkara sebegini berulang dan minta semua majikan faham.

"Bagi kes ini saya beri jaminan bahawa kerajaan, selain dari pihak polis akan ambil tindakan mengikut undang-undang sedia ada yang sewajarnya," katanya.

Disiarkan pada: September 3, 2021 @ 3:35pm
d