mutakhir

Hiba lihat isteri berjuang lawan kanser payudara [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Tanpa rasa jijik mencuci luka di seluruh dada dan perut isteri yang menderita kanser payudara, rutin harian itu dilakukan Ibrahim Mamat tanpa mengeluh.

Ibrahim, 54, berkata dia sudah tidak kekok untuk menguruskan isterinya, Kamariah Yusoff, 57, kerana keadaan wanita itu yang sangat lemah.

Menurutnya, isterinya menghidap kanser payudara pada pertengahan 2019 lalu, namun mereka berikhtiar melalui rawatan alternatif kerana Kamariah bimbang payudaranya akan dibuang.

"Pada mulanya hanya satu ketulan kecil tumbuh di payu dara kiri dan disangka ketulan biasa menyebabkan kami mendapatkan rawatan dengan pengamal perubatan alternatif.

"Lama-kelamaan, ia semakin teruk dan pecah kerana ada lelehan nanah keluar sebelum isteri mengadu rasa sakit menyebabkan saya membawanya ke hospital.

"Isteri kemudian disahkan menghidap kanser payudara tahap empat," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Semut Api, Jalan PCB, di sini, semalam.

Tukang rumah itu berkata, isterinya juga kehilangan berat badan yang banyak iaitu daripada berat asal 65 kilogram (kg) kepada 30 kg disebabkan penyakit berkenaan.

Menurutnya, perasaan hiba kerap bertandang setiap kali mencuci luka di bahagian hadapan tubuh isterinya dari leher sehingga perut kerana tidak tahan mendengar rintihan kesakitan.

"Isteri sering tidak dapat melelapkan mata kerana berasa terlalu sakit sehingga terpaksa mengambil ubat tidur selain ubat tahan sakit.

"Saya juga kerap mengelap tubuhnya terutama di bahagian luka untuk memberi keselesaan kerana sering mengadu rasa panas malah adakalanya diminta dilap dengan ketulan ais," katanya yang menetap di rumah sewa dengan bayaran RM350 sebulan.

Ibrahim juga menyifatkan isterinya sangat kuat semangat kerana masih menggagahkan diri bangun untuk ke tandas dan menunaikan solat lima waktu walaupun dalam keadaan duduk.

"Saya tidak menerima kerja di lokasi yang jauh kerana isteri tidak boleh ditinggalkan lama dan jika keluar bekerja sekalipun, saya hanya memperuntukkan masa beberapa jam sahaja.

"Dengan pendapatan tidak menentu, kami berjimat menggunakan elaun bulanan RM250 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.

Orang ramai yang bersimpati boleh membantu Ibrahim dengan menghubungi talian 017-3031254.

Disiarkan pada: September 3, 2021 @ 3:53pm
d