mutakhir

Tiada ribut geomagnetik landa bumi

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Fenomena suar suria yang dilaporkan berlaku sebelum ini tidak mencetuskan ribut geomagnetik yang dikatakan dijangka melanda bumi semalam.

Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) pada kenyataan di Facebook memaklumkan, ribut berkenaan tidak berlaku meskipun pihak 'NOAA Space Weather Prediction Center' mengeluarkan ramalan kemungkinan ia berlaku.

"Imej matahari yang dirakam menunjukkan dua kumpulan tompok matahari pada permukaan fotosfera matahari yang diberi nama AR2859 dan AR2860.

"Menurut 'Solar Dynamics Observatory' (SDO), suar suria terkuat yang dihasilkan oleh kumpulan tompok matahari AR2859 adalah suar suria kelas C pada iaitu 20 Ogos lalu," katanya.

Kenyataan turut mengatakan, suar suria terkuat yang dihasilkan oleh kumpulan tompok matahari AR2860 adalah suar suria kelas M iaitu pada 28 Ogos lalu.

"Fenomena suar suria yang berlaku ini tidak mencetuskan ribut geomagnetik di lapisan ionosfera bumi walaupun pihak NOAA Space Weather Prediction Center mengeluarkan ramalan kemungkinan ia berlaku," katanya.

Kenyataan memaklumkan, berdasarkan sifat semulajadinya (kelajuan letusan dan posisi tompok matahari), suar suria terbabit juga tidak memberi ancaman kepada bumi atau memberikan kesan kepada manusia.

"Pada masa sama, negara di kawasan berlatitud tinggi seperti Alaska berpeluang menyaksikan fenomena aurora kesan daripada peristiwa ini," katanya.

Terdahulu, akhbar 'The Sun' melaporkan, gangguan kepada magnetosfera bumi yang dikatakan dijangka berlaku semalam, susulan letusan besar medan magnet dan plasma daripada korona matahari pada 28 Ogos lalu, menurut Pusat Ramalan Cuaca Angkasa Lepas Perkhidmatan Kaji Cuaca Nasional (SWPC) di Amerika Syarikat.

Ribut itu dikatakan boleh menjejaskan grid dan transformer elektrik, mengganggu satelit dan menggugat komunikasi radio.

Satu kenyataan di laman SWPC menyatakan bahawa fenomena dikenali sebagai Lontaran Massa Korona (CME) itu dijangka sampai ke bumi kelmarin dan semalam.

CME yang juga disebut sebagai ribut geomagnetik, diletakkan pada skala 1 hingga 5 yang mana 1 adalah paling lemah dan 5 paling berpotensi menyebabkan kerosakan.

Disiarkan pada: September 4, 2021 @ 4:13pm
d