mutakhir

18 penjawat awam antara 62 individu ditahan ketika berpesta

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Serdang: Keseronokan 62 individu termasuk 18 penjawat awam 'berpesta' di sebuah pusat hiburan di Puchong, di sini, terbantut apabila mereka ditahan dalam serbuan Operasi Hiburan (Op Hiburan), awal pagi hari ini.

Serbuan dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor pada 1.40 pagi.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, hasil pemeriksaan dilakukan di dalam pusat hiburan terbabit mendapati premis itu dalam keadaan gelap serta lampu berkelip-kelip selain kedengaran muzik dimainkan dengan kuat.

"Malah, ada di antara pelanggan pusat hiburan itu yang sedang leka minum minuman keras.

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 62 individu berada di dalam premis itu membabitkan lapan individu termasuk tiga wanita yang bekerja sebagai pengurus serta pelayan selain 28 pelanggan lelaki dan 26 pelanggan wanita.

"Daripada jumlah itu, seramai 18 penjawat awam dikenal pasti berada di dalam premis berkenaan," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Anbalagan berkata, hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan mendapati seorang lelaki positif dadah jenis methamphetamine, manakala selebihnya negatif dadah.

"Sebanyak 62 kompaun dikeluarkan dalam operasi berkenaan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 6 Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1955, Peraturan 16 Peraturan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Selangor) 1996 dan Seksyen 76 AKta Eksais 1976," katanya.

Disiarkan pada: September 4, 2021 @ 6:36pm
d