mutakhir

Institut memandu dibenarkan beroperasi bermula Khamis ini

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Industri Latihan Pemanduan (ILP) Kenderaan Motor di seluruh negara dibenarkan beroperasi ketika tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) secara janji temu, bermula Khamis ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, walaupun Institut Memandu (IM) sudah boleh beroperasi, proses pengujian bagi mendapatkan lesen memandu berkaitan hanya bermula pada 17 September ini.

Beliau berkata, tempoh itu bagi membolehkan pihak IM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersedia sepenuhnya serta mengelakkan isu berbangkit yang boleh memberi kesan negatif kepada calon.

"Pekerja, tenaga pengajar dan calon sudah lengkap menerima vaksin perlu mengemukakan Sijil Digital Vaksinasi Covid-19 dan kad pengenalan sebagai pembuktian.

"Pihak syarikat hanya dibenarkan beroperasi berdasarkan peratusan pekerja sudah lengkap menerima vaksin, sekiranya kadar peratusan pekerja lengkap menerima pelalian itu adalah 40 peratus, maka kapasiti pekerja dibenarkan beroperasi adalah sebanyak 60 peratus.

"Jika lengkap menerima vaksin pada kadar 60 peratus, maka 80 peratus pekerja mereka dibenarkan beroperasi. Syarikat hanya dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh (100 peratus) sekiranya kadar vaksinasi pekerja sudah mencapai 80 peratus," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wee berkata, mana-mana kakitangan atau calon bergejala, berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), individu di bawah pengawasan (PUS) atau menjalani kuarantin tidak dibenarkan hadir ke IM atau ILP.

Beliau berkata, IM perlu mematuhi protokol kesihatan ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan pelaksanaan norma baharu seperti pemeriksaan suhu badan, imbas kod MySejahtera, mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka serta menyediakan cecair pembasmi kuman.

"Kementerian turut memutuskan untuk memberikan moratorium selama tiga bulan bagi pembaharuan permit IM bagi mana-mana tempoh sah lakunya yang tamat antara Januari hingga September ini.

"Memahami dan prihatin dengan kesukaran terpaksa dihadapi pengendali IM akibat pandemik Covid-19, kementerian memutuskan pemberian moratorium selama tiga bulan sehingga 30 November ini.

"Diharapkan pengoperasian semula ILP ini dapat memberi kelegaan kepada pengusaha ILP atau IM, tenaga pengajar dan orang ramai yang memerlukan perkhidmatan berkaitan," katanya.

Disiarkan pada: September 7, 2021 @ 6:27pm
d