mutakhir

Harga ayam, ikan mula meningkat

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Harga ayam, ikan kembung dan pelaling di Pasar Keramat, di sini, didapati mengalami kenaikan harga akibat pelbagai faktor sejak kebelakangan ini.

Tinjauan Harian Metro mendapati harga ayam naik sehingga RM9.50 sekilogram manakala ikan kembung pula mencecah RM26 sekilogram.

Peniaga ayam, Azmi SM Ariffin, 33, berkata harga ayam yang diambil daripada pembekal agak tinggi bermula dari RM6.40 sekilogram manakala RM7.70 bagi ayam yang siap diproses.

"Saya dimaklumkan harga naik disebabkan faktor harga dedak ayam meningkat, selain kemasukan anak ayam berkurangan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini," katanya.

Sementara itu, peniaga ikan, Azmi Rajani, 45, berkata harga ikan kembung dan pelaling juga tidak menentu dan bergantung kepada pembekal.

"Seperti hari ini, harga ikan pelaling bagi sekilogram adalah RM16 manakala bagi ikan kembung adalah RM26 sekilogram.

"Ia tidak menentu dan bergantung kepada cuaca. Kadang-kadanng harga jauh lebih murah dan boleh jadi harga melambung tinggi jika musim tengkujuh," katanya.

Disiarkan pada: September 8, 2021 @ 6:53pm
d