mutakhir

'Arwah pernah luah hasrat balik kampung jaga ayah'

Oleh BERNAMA

Kuala Berang: "Arwah pernah meluahkan hasrat ingin berhenti kerja dan pulang ke kampung untuk menjaga ayah yang menghidap penyakit lelah kronik."

Demikian kata Ayu Megawati Mohd Said, kakak kepada seorang jurutera, Muhammad Sufian yang ditemukan meninggal dunia di sebuah rumah selepas insiden memecahkan cermin masjid Taman Scientex, Pasir Gudang, Johor, Ahad lalu.

Beliau berkata, adik bongsunya itu bertugas di Johor sejak tiga tahun lalu dan tidak pernah berkelakuan agresif sebelum ini namun, akhir-akhir ini kerap menyatakan hasratnya untuk pulang ke kampung.

"Saya dan arwah tinggal berdekatan antara satu sama lain di Johor Bharu. Pada Sabtu lalu, arwah beberapa kali mendesak serta mengajak saya untuk pulang ke kampung bersamanya, tetapi saya meminta beliau bersabar hingga Ahad bagi menguruskan dokumen rentas negeri.

"Namun, perancangan itu tidak tercapai apabila saya menerima panggilan pada 4 pagi dan dimaklumkan kejadian menimpanya," katanya ketika ditemui pemberita di kediaman keluarganya di Taman Seri Sentosa, Kuala Berang, di sini, hari ini.

Beliau berkata, walaupun terkejut dengan insiden terbabit, mereka sekeluarga reda dengan pemergian arwah.

Katanya, mereka sekeluarga mula menyedari perubahan sikap Muhammad Sufian sejak dua minggu lalu.

"Rutin kami adik-beradik membuat panggilan video secara berkumpulan selepas Maghrib dan arwah akan menamatkan perbualan apabila masuk waktu azan Isyak.

"Tetapi sejak dua minggu kebelakangan, ini arwah berbual lebih lama berbanding sebelumnya," katanya.

Beliau berkata, jenazah Muhammad Sufian selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Kuda, Kuala Berang pada 9 malam tadi.

Dalam kejadian Ahad lalu, jurutera kimia itu ditemukan maut dengan kesan kecederaan pada pergelangan tangan serta kaki kanan di rumah sewanya dan sebelum itu dikatakan mengamuk di Masjid Taman Scientex apabila mendapati pintu masjid ditutup selepas waktu Isyak.

Berita berkaitan

'Lelaki maut akibat parah di pergelangan tangan, tumbuk pintu cermin masjid hari sebelumnya'

Disiarkan pada: September 8, 2021 @ 9:09pm
d