mutakhir

Doktor jangka hayat Ammar bertahan lima bulan lagi [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Pendang: "Doktor menjangkakan tempoh hayat anak saya, Muhammad Ammar Mohd Suhaimi, 7, hanya bertahan kira-kira lima bulan lagi kerana kanser neuroblastoma (saraf) yang dihidapinya sudah merebak.

"Namun hari ini saya cuba menggembirakan hatinya dengan menjemput rakan-rakan yang berpakaian kostum Ultraman, Mini Mouse dan Mickey Mouse untuk memberi semangat pada sambutan hari lahirnya, hari ini," kata Farah Wahida Md Ishak, 37.

Menurutnya, anak keempat daripada lima beradik itu dikesan menghidap kanser tahun lalu dan mendapat rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) dua kali setiap bulan.

Katanya, dia dan suaminya, Mohd Suhaimi Zakaria, 43, bekerja sebagai kerani di sekolah berasingan di daerah ini hanya mampu berserah pada Allah dengan ujian yang dilalui.

"Saya terpaksa bergilir mengambil cuti dengan suami untuk menjaga Ammar sekiranya dia dimasukkan ke hospital tetapi sekarang kami hanya bekerja dari rumah (BDR) disebabkan Covid-19.

"Kami perlu membawa Ammar ke HPP dua kali sebulan untuk mendapat rawatan dari doktor pakar kanak-kanak di sana dan menggunakan wang yang ada untuk kos perjalanan serta makan minum kira-kira RM500 sebulan," katanya ketika ditemui di rumah ibunya di Kampung Guar Kepayang, Tanah Merah, Pendang, di sini hari ini.

Menurutnya, anaknya sejak kecil kerap demam dan tahun lalu dia mengadu sakit kaki dan membawanya ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Katanya, ketika itu, doktor hanya memberinya ubat tahan sakit dan namun apabila pulang ke rumah, kesakitan itu semakin ketara menyebabkan dia dan suami membawa Ammar ke sebuah hospital swasta di Alor Setar untuk menjalani rawatan lanjut.

"Doktor mendapati terdapat sel ketika menjalani ujian ultra sound dan merujuk kes itu ke HPP. Kira-kira sebulan kemudian barulah kami tahu yang Ammar menghidap kanser.

"Sejak itu, saya dan suami tidak pernah berputus ada dan membawanya menjalani rawatan kimoterapi walaupun doktor memberitahu jangka hayat anak saya tidak bertahan lama tapi saya berusaha selain berdoa pada Allah," katanya.

Menurutnya, dalam tempoh lima bulan ini, mereka sekeluarga mahu meluangkan masa bersama Muhammad Ammar dan akan memenuhi kemahuan anaknya.

Katanya, disebabkan itu, dia menghubungi Persatuan Sahabat Kanak-Kanak Kanser Wilayah Utara (FOCCAN) untuk membawa beberapa watak kartun sempena sambutan hari lahirnya hari ini bagi menggembirakan hati anaknya.

"Sebagai ibu memang saya sedih dengan apa yang dilalui dan kami juga perlu membelanjakan wang untuk membeli susu formula khas setiap bulan kepada Muhammad Ammar seperti yang disyorkan oleh doktor.

"Dia juga banyak kali beritahu mahu ke Underwater World di Langkawi tetapi disebabkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1, kami tidak dapat menunaikannya," katanya.

Selain itu, Farah Wahida berkata, anaknya juga berhasrat untuk memakai baju seragam bomba dan menaiki jentera kerana bercita-cita untuk menjadi anggota bomba.

Katanya, dia berharap dapat menunaikan impian anaknya buat kali terakhir untuk anaknya walaupun berdoa supaya anaknya dipanjangkan usia.

"Saya mempunyai empat lagi anak berusia antara 3 hingga 17 tahun dan tiga daripadanya masih bersekolah.

"Apabila terpaksa mengambil cuti, kami dapat separuh gaji dan duit itu digunakan untuk membawa kegunaan Muhammad Ammar serta menyara hidup keluarga," katanya.

Farah Wahida berharap sambutan hari lahir anaknya pada hari ini bukan kali terakhir walaupun reda dengan apa yang berlaku.

Orang ramai yang berhasrat untuk menyalurkan sumbangan boleh menghubunginya di talian 012-5514453.

Sementara itu, Pengerusi FOCCAN Wilayah Utara, Maznah Tayib berkata, pihaknya turut memberi hadiah permainan Lego kepada pesakit kanak-kanak itu sebagai tanda sokongan kepadanya.

Disiarkan pada: September 9, 2021 @ 3:45pm
d