mutakhir

'Cepat sikit, bateri telefon dah lemah'

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Tanjong Karang: Kata-kata 'cepat sikit, bateri telefon dah lemah' yang diungkapkan Allahyarham Muhammad Fitri Izzat Mohamad Fairus masih terngiang-ngiang di telinga Rabiatul Izzati Tenuri, 31.

Ia akan sentiasa diingati Rabiatul Izzati kerana suaminya itu meninggal dunia pada 21 Ogos lalu selepas ditidurkan selama 12 hari selepas dijangkiti Covid-19.

Lebih menyedihkan, Muhammad Fitri Izzat yang menghembus nafas terkahirnya pada usia 34 tahun di Hospital Sungai Buloh (HSB) tidak sempat bertemu anak kembarnya, Nur Raisya dan Nur Raiqa yang dilahirkan pada 30 Julai lalu.

Berkongsi kisah pilu itu, Rabiatul Izzati berkata, awalnya dia yang disahkan positif Covid-19 dan dimasukkan ke HSB pada 28 Julai lalu.

Menurutnya, dia kemudiannya ditidurkan untuk melahirkan anak kembar secara pembedahan dan sedar dua hari kemudian.

"Saya ada hubungi suami yang ketika itu sedang menjalani kuarantin di rumah sewa kami di Setia Alam.

"Bagaimanapun, keadaan suami bertambah teruk dan dimasukkan ke HSB pada 7 Ogos lalu," katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan Bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Tanjong Karang Tan Sri Noh Omar merangkap Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) melawat Rabiatul Izzati di rumah keluarganya di Jalan Tanah Serong, Kampung Sungai Gulang-Gulang di sini.

Rabiatul Izzati berkata, dia sempat berhubung dengan suaminya yang menerima rawatan menerusi panggilan video kira-kira satu minit pada 7 pagi, 9 Ogos lalu.

"Kami sempat berhubung sebelum suami ditidurkan. Itu kali terakhir saya tatap wajahnya yang mana sebelum itu dia memberitahu berada dalam keadaan baik dan tidak mahu ditidurkan.

"Suami juga beritahu tak boleh cakap lama sebab bateri telefon bimbit semakin lemah.

"Pada sebelah petang (hari yang sama), doktor menghubungi saya memaklumkan suami terpaksa ditidurkan kerana peratusan oksigen semakin merosot," katanya.

Menurutnya, dia hilang kata-kata dan terkejut apabila diberitahu suaminya yang juga penyelia sebuah syarikat lebuh raya meninggal dunia oleh doktor menerusi panggilan video.

"Berita itu meremukkan hati saya yang tidak berpeluang untuk berada di sisi arwah suami buat kali terakhir.

"Arwah suami meninggal dunia sebelum ulang tahun perkahwinan kami pada 26 Ogos lalu. Saya berdoa dan berharap dia akan bangun serta bertemu anak kami pada tarikh itu, tetapi Allah SWT lebih menyayanginya," katanya.

Dia reda namun masih buntu memikirkan nasib tiga anak yang masih kecil.

Katanya, dia ketika ini tinggal sementara di rumah keluarganya untuk mengubati kesedihan.

Sementara itu, Noh berkata, beliau bersimpati dengan nasib yang menimpa Rabiatul Izzati.

"Saya hadir ke rumah keluarga ini bagi menyalurkan bantuan daripada Perkeso.

"Saya difahamkan, isteri dan anak arwah layak mendapat faedah Perkeso di bawah pencen penakat serta layak mendapat pencen bulanan, selain faedah pengurusan jenazah berjumlah RM2,000," katanya.

Disiarkan pada: September 11, 2021 @ 5:35pm
d