mutakhir

Lapan kali cuba nasib

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: "Minat yang terlalu mendalam untuk menjadi anggota polis menyebabkan saya tidak pernah berputus asa walaupun kali ini adalah kali kelapan mengikuti temu duga jawatan berkenaan.

"Sejak kecil, cita-cita saya hanya mahu menjadi anggota polis. Selagi ada peluang saya akan terus berusaha mencuba tanpa rasa jemu dan kecewa."

Itu kata-kata bersemangat lelaki Orang Asli, Deanial Bah Angan, 27. Dia antara 236 pemuda Orang Asli di negeri itu mengikuti pemilihan jawatan konstabel Polis Diraja Malaysia (PDRM) Orang Asli dan Senoi Praaq selama tiga hari bermula kelmarin di Kompleks PDRM Alor Akar di sini.

Menurut bapa seorang cahaya mata berusia tiga tahun itu, pakaian seragam berwarna biru pasukan polis menjadi pembakar semangat serta tarikan utama untuk dia memilih kerjaya berkenaan hingga sanggup lapan kali mencuba termasuk kali ini.

Katanya, faktor tidak cukup ketinggian yang menjadi syarat utama ditetapkan PDRM menyebabkan enam kali dia gagal pada sesi temu duga di Perak, ketinggian 163 sentimeter diperlukan sedangkan dia hanya tinggi 160 sentimeter.

"Oleh itu, bagi mencapai ketinggian ditetapkan, selama enam tahun saya berusaha dan mencuba dengan melakukan pelbagai jenis senaman untuk menambah ketinggian termasuk bergayut, berlari dan melompat setiap hari.

"Ternyata, usaha yang tidak mengenal putus asa didorong dengan keinginan terlalu menebal menjadi anggota polis, akhirnya saya mencapai ketinggian ditetapkan 163 sentimeter dua tahun lalu selepas berusaha tanpa erti jemu.

"Selepas lulus ujian fizikal tahun lalu, rezeki saya untuk menjadi anggota polis masih belum sampai apabila terkandas pada sesi temu duga lisan," katanya yang kini menetap di Kampung Paya Pelong, Temerloh.

Dia yang berasal dari Batu Gajah, Perak mengakui besar harapan untuk berjaya pada pemilihan kali ini, malah esok (Isnin) menjadi penentu berjaya atau sebaliknya selepas sesi temu duga secara lisan di Kompleks PDRM Alor Akar.

Deanial bercadang memaklumkan kepada penemuduga bahawa dia sudah lapan kali termasuk mengikuti temu duga jawatan polis dengan harapan mendapat pertimbangan untuk diterima.

Katanya, jika gagal tahun ini, dia akan cuba tahun depan yang menjadi episod terakhir memohon jawatan berkenaan kerana mencapai usia 28 tahun, sekiranya terus gagal dia reda dan akan terus bertugas sebagai pembantu operasi di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh.

"Isteri dan keluarga begitu menaruh harapan untuk melihat saya memakai pakaian seragam polis suatu hari nanti, sebab itu mereka tidak pernah jemu memberi sokongan.

"Dengan kelulusan Sijil Penilaian Menengah Rendah (PMR) saya hanya layak memohon jawatan konstabel Pasukan Gerakan Am (PGA) sebelum menyambung pengajian sekiranya layak.

"Sokongan diberikan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Pahang yang menyediakan kemudahan pengangkutan dan makanan sepanjang proses temu duga menambahkan lagi semangat saya untuk menjadi polis," katanya.

Bagi Fazielaliana Jali, 25, memiliki ijazah pendidikan awal kanak-kanak dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjong Malim, Perak bukan penghalang untuk memohon jawatan polis.

"Saya berminat menjadi anggota polis walaupun tugas dipikul dianggap mencabar berbanding guru, peluang yang terhidang perlu direbut sebaik mungkin.

"Ini kali pertama saya mengikuti temu duga jawatan konstabel polis hingga ke peringkat temu duga lisan atau bersemuka. Saya menerima dengan hati terbuka keputusan temu duga kali ini.

"Jika tidak berjaya, saya beroleh pengalaman menarik terutama ketika ujian fizikal yang agak memenatkan, namun jika berjaya saya akan membuat keputusan terbaik," katanya yang menetap di Kampung Orang Asli Serun, Pekan.

Disiarkan pada: September 12, 2021 @ 7:01am
d