mutakhir

Kes Covid-19 menghampiri dua juta

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Sebanyak 20,980 kes sembuh Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan kes sembuh keseluruhan ialah 1,721,713 kes atau 87 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 1,298 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) yang mana 960 kes disahkan Covid-19 manakala 338 kes adalah kes disyaki dan masih dalam siasatan.

"Daripada jumlah itu, 744 kes memerlukan bantuan pernafasan di mana 300 kes adalah disyaki Covid-19 dan kes dalam siasatan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sejumlah 19,198 kes baharu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan individu dijangkiti Covid-19 di negara ini mencecah 1,979,698 kes.

Katanya, daripada jumlah itu, 253 kes (1.3 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5, manakala 18,945 kes (98.7 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Menurutnya, lima daripada jumlah keseluruhan kes adalah kes import membabitkan dua warganegara dan tiga bukan warganegara.

Dr Noor Hisham berkata, Sarawak kekal menjadi negeri tertinggi mencatatkan pertambahan kes harian iaitu sebanyak 5,291 kes.

"Turut mencatatkan pertambahan kes baharu ialah Selangor dengan 2,347 kes, diikuti Johor (2,110), Sabah (1,717), Kelantan (1,435), Pulau Pinang (1,309), Kedah (1,256) dan Perak (1,118).

"Ia disusuli Terengganu dengan 930 kes, Pahang (584), Kuala Lumpur (376), Melaka (340), Negeri Sembilan (283), Perlis (67), Putrajaya (32) dan Labuan (tiga)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 12, 2021 @ 7:47pm
    d