mutakhir

Enam pelanggan ditahan ketika asyik berkaraoke

Oleh Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Cubaan seorang lelaki menjalankan operasi hiburan karaoke mengundang padah apabila premisnya di Jalan Kuala Krai, di sini, diserbu pihak berkuasa, semalam.

Serbuan dilakukan pada 4 petang di sebuah premis dua tingkat dan menahan enam pelanggan yang sedang berhibur.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, lelaki berusia 37 tahun itu mengaku baru beberapa bulan membuka perniagaan itu, tetapi tidak dapat beroperasi kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Ketika serbuan dibuat, enam pelanggan berusia antara 33 hingga 55 tahun termasuk dua wanita sedang berhibur dalam premis itu.

"Pemilik premis didapati menjalankan aktiviti hiburan karaoke tanpa lesen dengan bayaran RM50 satu jam dan lelaki itu mengaku menyewa premis terbabit pada kadar RM1,000 sebulan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Abdul Rahim berkata, beberapa peralatan dirampas antaranya dua unit speaker, amplifier, projektor dan mesin pemain karaoke.

Beliau berkata, pemilik premis ditahan bagi siasatan lanjut, manakala enam pelanggan dikenakan tindakan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Enakmen Hiburan 1998.

Disiarkan pada: September 12, 2021 @ 9:15pm
d