mutakhir

Curi 3 tin susu sebab nak beli dadah...

Oleh Melvin Joni

Miri: Lelaki yang ditangkap kerana mencuri tiga tin susu di sebuah kedai di Miri Times Square di sini, adalah seorang penagih dadah tegar dan mempunyai pelbagai rekod jenayah termasuk mencuri.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner, Hakemal Hawari berkata suspek berusia 24 tahun itu mencuri bukanlah untuk menyara keluarga tetapi untuk dijual bagi membeli dadah.

"Ingin ditegaskan bahawa mencuri adalah salah di sisi undang-undang dan kesempitan hidup bukanlah satu alasan yang sah untuk mencuri.

"Tiga tin susu yang dicuri suspek juga bukan susu formula kanak-kanak tetapi untuk orang dewasa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, Hakemal menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes ini kerana ia akan mengganggu siasatan pihak polis.

"Pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut untuk tampil ke hadapan bagi membantu siasatan ini," katanya.

Semalam, dilaporkan suspek yang sudah berkahwin dan mempunyai bayi ditangkap kerana mencuri tiga tin susu di sebuah kedai di Miri Times Square.

Suspek ditahan di sebuah rumah di Jalan Maigold, Taman Desa Senadin sekitar jam 8 malam Sabtu lalu, susulan laporan polis yang dibuat oleh pihak premis terbabit kira-kira jam 2 petang hari yang sama.

Kegiatan suspek turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV), yang menunjukkan dia berjalan memasuki premis dan terus menuju ke sudut susu berkenaan sebelum meninggalkan premis dalam keadaan tergesa-gesa dengan menaiki kereta.

Disiarkan pada: September 13, 2021 @ 3:19pm
d