mutakhir

Dua beradik OKU ringan tulang bantu cari rezeki [METROTV]

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Machang: Bagai mengerti kesusahan hidup, dua beradik berstatus orang kurang upaya (OKU) membantu mencari rezeki untuk keluarga dengan memukat ikan bagi dijadikan ikan pekasam.

Bagaimanapun, Muhammad Daniel Nazrin Azizan, 15, dan Muhammad Danish Aiman, 10, yang mengalami masalah pembelajaran hanya akan mula memukat ikan selepas menyiapkan tugasan sekolah.

Bapa mereka, Azizan Mat Isa, 43, berkata dia amat mementingkan pendidikan dan akan memastikan anaknya mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) terlebih dahulu.

Menurutnya, kedua-dua anaknya walaupun serba kekurangan, tetapi ringan tulang membantu keluarga apatah isterinya Rohani Rashid, 43, terlantar akibat penyakit tibi tulang.

"Saya bersama anak akan keluar menahan pukat di sungai berdekatan dan mampu memperoleh dua kilogram (kg) ikan dalam sehari, namun bergantung kepada musim.

"Hasil tangkapan akan diproses menjadi ikan pekasam sebelum dijual pada harga RM10 sebungkus.

"Saya juga menyadap tuak untuk dijual dan pendapatan setiap bulan tidak menentu bergantung kepada hasil jualan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pangkal Durian, di sini, hari ini.

Katanya, sejak isterinya terlantar, rutin kehidupannya banyak berubah apabila perlu menguruskan isterinya terlebih dahulu sebelum keluar mencari rezeki.

"Isteri saya sebelum ini bekerja sebagai pembantu klinik di Kuala Lumpur, namun berhenti sejak 10 tahun lalu selepas disahkan menghidap penyakit tibi tulang selain komplikasi darah tinggi, kencing manis dan bengkak hati.

"Setiap dua atau tiga bulan sekali, isteri perlu menghadiri temujanji dengan doktor pakar di Hospital Machang bagi mengetahui tahap kesihatannya," katanya.

Menurutnya, pendapatan yang diperolehnya sekadar cukup makan untuk mereka dan ada ketikanya jiran terdekat serta saudara mara turut menghulurkan bantuan barangan keperluan asas.

"Mujurlah keperluan isteri seperti lampin pakai buang ditanggung oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan setiap dua bulan sekali saya akan ke pejabat Perkeso untuk mengambil barang keperluan ini.

"Dalam masa sama, saya juga bersyukur kerana isteri mendapat bantuan bulanan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang boleh digunakan untuk perbelanjaan kos perubatan lain," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Azizan di talian 011-29487189.

Disiarkan pada: September 15, 2021 @ 1:24pm
d