mutakhir

3 km pandu lawan arus [METROTV]

Oleh Norzamira Che Noh

Klang: Seorang lelaki ditahan selepas didapati memandu secara melawan arus di Lebuhraya Shah Alam (KESAS), tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, lelaki berusia 36 tahun itu didapati memandu di bawah pengaruh alkohol.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kira-kira 12 tengah malam mengenai lelaki menaiki kereta berwarna emas yang memandu secara melawan arus di lebuh raya berkenaan.

"Suspek dipercayai memandu melawan arus sejauh tiga kilometer (KM) dari susur Bandar Puteri sehingga ke Plaza Tol Kota Kemuning iaitu di KM 23 hingga KM 20 arah Shah Alam.

"Suspek ditahan di lokasi oleh peronda Lebuhraya (EMPV) dan kemudian dibawa ke Balai Polis Trafik Klang Selatan. Hasil ujian mendapati terdapat alkohol dalam badan lelaki itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah bagaimanapun memiliki tiga rekod saman trafik kerana terbabit dalam kemalangan sebelum ini.

Katanya, suspek memberi kerjasama dan dibebaskan dengan jaminan polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, rakaman video tular menunjukkan kereta yang dipandu secara melawan arus di lebuhraya berkenaan.

Tiada kemalangan berlaku dan beberapa pemandu kenderaan lain dilihat berjaya mengelak suspek yang memandu di lorong kanan lebuh raya itu.

Disiarkan pada: September 15, 2021 @ 3:34pm
d